Cubaan keluarga Afghanistan masuk Malaysia guna visa palsu gagal
KUALA LUMPUR – Cubaan empat sekeluarga warga Afghanistan untuk masuk ke negara ini menggunakan visa palsu berjaya digagalkan pihak berkuasa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), minggu lalu.
Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, mereka merupakan antara 132 warga asing yang diperiksa dalam operasi pemantauan serta saringan dokumen di pintu masuk negara.
“Empat individu berkenaan terdiri daripada seorang lelaki dan tiga wanita. Mereka dikesan berlegar-legar tanpa hala tuju di kawasan terminal KLIA, mencetuskan kecurigaan pasukan Unit Pemantau,” menurut kenyataan tersebut.
Hasil siasatan mendapati, mereka tiba di KLIA pada pukul 9.20 malam Khamis lalu melalui penerbangan EK342 yang dikendalikan oleh Emirates Airlines, namun gagal melaporkan diri di kaunter pemeriksaan imigresen dalam tempoh masa ditetapkan.
AKPS menjelaskan, keempat-empat individu terbabit dikesan sebagai ‘penumpang basi’ iaitu mereka yang tiba di Malaysia tetapi tidak melalui pemeriksaan imigresen sewajarnya dan telah berada di kawasan terminal selama empat hari.
“Pemeriksaan lanjut terhadap dokumen perjalanan mendapati semua visa yang digunakan adalah palsu. Mereka turut mengaku tidak pernah memasuki Uzbekistan seperti yang didakwa sebagai laluan transit,” katanya.
Difahamkan, visa palsu itu diperoleh melalui seorang ejen dengan bayaran sekitar AS$6,000 (kira-kira RM25,386).
Susulan itu, AKPS mengambil tindakan menolak kemasukan kesemua individu terbabit ke Malaysia.
Mereka dijadualkan dihantar pulang ke negara asal menggunakan penerbangan Emirates Airlines pada esok hari.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








