150 kontena e-waste haram disasar dihantar pulang sebelum 1 Mei
PELABUHAN KLANG – Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) menyasarkan sebanyak 150 kontena sisa elektronik (e-waste) haram dihantar pulang ke negara asal sebelum 1 Mei ini menerusi pelaksanaan Op Green Shield.
Komander AKPS Pelabuhan Klang, Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, sasaran tersebut ditetapkan susulan perkembangan positif hasil operasi bersepadu melibatkan pelbagai agensi penguat kuasa.
“Kumpulan pertama melibatkan 15 kontena telah berjaya dihantar keluar melalui Westports pada pagi ini.
“Sebanyak 40 lagi kontena dijangka dihantar keluar dalam masa terdekat, manakala 21 kontena baharu dikenal pasti untuk pemeriksaan lanjut pada Jumaat ini.
“Operasi ini menunjukkan kemajuan ketara dalam usaha kita menangani isu kemasukan e-waste haram ke negara ini,” memetik NST online.
Menurut beliau, sejak Op Green Shield dilancarkan pada 26 Januari lalu, sebanyak 21 operasi telah dijalankan dengan 456 kontena diperiksa dan 254 daripadanya disahkan mengandungi sisa elektronik.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan sebanyak 803 kontena termasuk kes tertunggak dikenal pasti untuk dihantar keluar dari Malaysia.
“Sehingga kini, lebih 6,200 tan e-waste berjaya dikesan dan dirampas di Pelabuhan Klang,” katanya lagi.
Nik Ezanee berkata, kejayaan tersebut hasil kerjasama erat Pasukan Petugas Bersama yang melibatkan AKPS, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Alam Sekitar, SIRIM, Lembaga Pelabuhan Klang serta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis)
Bagaimanapun, katanya, cabaran utama adalah untuk mengekalkan momentum kerjasama antara agensi dalam memastikan baki kontena dapat dihantar pulang sepenuhnya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman akan diserap ke dalam pasukan petugas bagi memperkukuh operasi penguatkuasaan.
“Langkah ini penting bagi meningkatkan keupayaan penguatkuasaan, khususnya dalam membanteras aktiviti e-waste di luar kawasan pelabuhan,” katanya lagi.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada syarikat perkapalan yang memberi kerjasama dalam memastikan proses penghantaran pulang kontena berjalan lancar.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








