POLITIK

ARMADA dakwa Samsuri, Takiyuddin punca pendaftaran PN dibatalkan

PUTRAJAYA – ARMADA BERSATU Malaysia mendakwa kegagalan Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Datuk Seri Takiyuddin Hassan menguruskan tatacara mesyuarat serta mematuhi Perlembagaan Perikatan Nasional (PN) menjadi punca pembatalan pendaftaran gabungan itu.

Ketua Penerangan ARMADA BERSATU Malaysia, Harris Idaham Rashid berkata, keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) pada 20 Oktober itu sepatutnya boleh dielakkan sekiranya pengurusan tertinggi PN menghormati asas pentadbiran pertubuhan.

Menurutnya, kegagalan berkenaan turut menjejaskan sebuah gabungan politik yang dibina hasil usaha dan pengorbanan ahli di peringkat akar umbi.

“PN sebelum ini dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin secara teratur dan mematuhi undang-undang sejak penubuhannya, namun keadaan berubah selepas pentadbiran gabungan itu bertukar tangan kepada Samsuri tahun ini.

“Ini adalah bukti nyata ketidakcekapan yang amat memalukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Harris turut mendakwa keputusan penting gabungan dibuat seolah-olah menjadi hak milik peribadi tanpa mencapai persetujuan menyeluruh parti komponen.

Sehubungan itu, beliau mendesak supaya pelan penstrukturan semula hala tuju politik segera dilaksanakan bagi memelihara maruah, hak dan suara ahli BERSATU di peringkat akar umbi.

“ARMADA bersedia membina semula kekuatan parti tanpa tunduk kepada mana-mana pihak yang didakwa mengutamakan kepentingan peribadi berbanding perjuangan untuk rakyat,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button