BERITA SEMASA

Malaysia perkukuh kerjasama antarabangsa bangunkan jalan raya pintar

GANGNEUNG – Malaysia meneroka peluang memperkukuh kerjasama antarabangsa dalam aspek keselamatan jalan raya, pemindahan teknologi dan pembangunan infrastruktur pengangkutan pintar serta mampan menerusi pertemuan dengan dua organisasi antarabangsa di Republik Korea.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pertemuan bersama International Road Federation (IRF) dan United Nations Economic Commission for Europe (UNECE) diadakan sempena penyertaan Malaysia pada Kongres Dunia Sistem Pengangkutan Pintar (ITS) 2026.

“Pertemuan bersama IRF memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan keselamatan jalan raya di Malaysia melalui pengauditan, selain meneroka peluang kerjasama dalam latihan, pembangunan kapasiti dan perkongsian kepakaran teknikal,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook hari ini.

Menurutnya, kerjasama itu berpotensi diperluas merangkumi pemindahan teknologi, penyelidikan dan inovasi serta pembangunan infrastruktur pintar dan mampan.

“Pertemuan bersama UNECE pula menawarkan peluang dan sokongan organisasi itu dalam mempromosikan penggunaan penyelesaian serta instrumen sedia ada yang digunakan di peringkat global untuk dipertimbangkan Malaysia dalam penilaian dan penaksiran projek berskala kecil serta besar, termasuk projek di bawah kerjasama awam-swasta (PPP),” katanya.

Alexander berkata, perbincangan bersama UNECE turut merangkumi aspek kawal selia serta potensi kerjasama teknikal dan pembangunan kapasiti dalam bidang keselamatan jalan raya.

“Kementerian Kerja Raya (KKR) berpotensi memanfaatkan kepakaran UNECE, khususnya dalam pembangunan sistem pengangkutan pintar (ITS), keselamatan jalan raya dan infrastruktur pengangkutan yang mampan serta berdaya tahan terhadap perubahan iklim,” katanya.

Menurutnya, kesediaan kedua-dua organisasi itu meneroka peluang kerjasama dengan Malaysia disambut baik bagi memperkukuh keupayaan teknikal negara.

“Semoga hubungan dan jaringan antarabangsa ini dapat terus dimanfaatkan bagi meningkatkan kualiti, keselamatan dan daya tahan infrastruktur jalan raya demi kesejahteraan rakyat,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button