BERITA SEMASA

KKR peruntuk RM700 juta perkasa kontraktor kecil, peluang G1-G2 diperluas

KUALA LUMPUR – Kemnterian Kerja Raya (KKR) memperuntukkan sebanyak RM700 juta bagi memperkasa kontraktor kecil tempatan melalui program penyelenggaraan Jalan Persekutuan di seluruh negara tahun ini.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, program itu dijalankan melalui Majlis Tawaran Cabutan Kerja Undi yang membolehkan kontraktor kecil menyertai kerja-kerja penyelenggaraan jalan persekutuan secara adil dan telus.

“Sehubungan itu, KKR telah memperuntukkan RM200 juta di bawah Program Memperkasa Kontraktor Bumiputera G1 – G4 melalui kerja-kerja Penyelenggaraan Jalan Persekutuan Negeri Sarawak melibatkan 141 kerja iaitu 95 kerja Berkala Pavemen dan 46 kerja Berkala Bukan Pavemen. Jumlah ini meningkat tiga kali ganda berbanding RM50 juta pada 2025.

“Inisiatif ini sekali gus meningkatkan peluang penglibatan kerja kepada kontraktor Bumiputera terutamanya kelas G1 dan G2 dalam pembangunan infrastruktur negara,” katanya ketika menggulung perbahasan Titah Diraja 2026 di Dewan Rakyat, hari ini.

Negeri Sabah pula menerima peruntukan sama sebanyak RM200 juta, melibatkan 178 kerja, berbanding 50 kerja pada tahun lalu dengan peruntukan RM50 juta.

Bagi Semenanjung Malaysia, kementerian memperuntukkan RM300 juta untuk 758 kerja termasuk 81 kerja Berkala Pavemen dan 677 kerja Berkala Bukan Pavemen.

Jumlah ini mencatat kenaikan 112 kerja berbanding tahun 2025, sekali gus memberikan peluang lebih luas kepada kontraktor tempatan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button