Kerjasama KKR, Bloomberg Philanthropies fokus tingkatkan keselamatan jalan raya
KUALA LUMPUR – Kementerian Kerja Raya (KKR) berusaha untuk mengurangkan kadar kematian akibat kemalangan jalan raya di Malaysia sebanyak 50 peratus menjelang tahun 2030, selaras dengan sasaran Pelan Keselamatan Jalan Raya 2022-2030.
Komitmen itu dizahirkan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi semasa menerima kunjungan hormat delegasi dari Bloomberg Philanthropies yang diketuai Pengarahnya, Kelly Larson, pagi tadi.
Alexander berkata, Bloomberg Philanthropies telah bekerjasama rapat dengan Malaysia sebagai salah satu daripada 15 negara yang mengambil bahagian dalam Inisiatif Keselamatan Jalan Raya Global Bloomberg Philanthropies (BIGRS).
Jelas beliau, inisiatif berkenaan menyokong usaha meningkatkan keselamatan jalan raya, termasuk program latihan dan kerjasama dengan organisasi tempatan.
“Projek perintis hasil kerjasama antara BIGRS dan KKR ini dimeterai melalui pelaksanaan program yang berjaya di salah satu lintasan pejalan kaki bersignalisasi (LPKSI) yang terletak di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Gadong, Banting, Selangor, dengan kos keseluruhan sebanyak RM700,000,” katanya.
Dalam pertemuan itu, Alexander turut berkongsi mengenai usaha KKR dalam meningkatkan keselamatan jalan raya, seperti membangunkan Sistem Pengurusan Kemalangan Jalan Raya (RAMS).
Beliau menjelaskan, RAMS adalah satu platform sistem dalam talian yang mengumpul dan menganalisis data kemalangan jalan raya di lokasi yang kerap berlaku kemalangan serta mampu merekod laporan kemalangan maut 24 jam.
“Data daripada sistem RAMS diperoleh melalui integrasi dengan sistem Kemalangan Jalan Raya Polis Diraja Malaysia (PDRM). Data yang diperoleh ini boleh dikongsi dengan Bloomberg (BIGRS) untuk tujuan analisis.
“Ia yang kemudiannya dapat membantu Kementerian menangani isu peningkatan kemalangan jalan raya setiap tahun,” katanya lagi.

Tambah Alexander, beliau juga telah mengetengahkan pelaksanaan strategi inovatif lain untuk memastikan jalan raya yang lebih selamat, penguatkuasaan yang lebih baik dan kempen kesedaran awam yang lebih berkesan.
Alexander berkata, KKR melalui Program Peningkatan Infrastruktur Keselamatan Jalan Raya, yang memfokuskan penambahbaikan kawasan berisiko tinggi, telah mengambil langkah proaktif untuk mengurangkan kemalangan yang disebabkan oleh faktor kejuruteraan jalan raya.
“Pada tahun 2024, sebanyak RM80 juta telah diperuntukkan untuk membaik pulih 86 kawasan berisiko tinggi, memasang lampu jalan baharu di 275 lokasi berisiko tinggi di seluruh negara.
“Selain itu, sebanyak 35 lintasan pejalan kaki dengan lampu isyarat, 14 lampu isyarat di persimpangan telah dibina, manakala tiga projek jambatan pejalan kaki telah siap,” katanya.
Dalam pada itu, Alexander turut berbesar hati untuk meningkatkan kerjasama dengan Bloomberg Philanthropies dalam penyelesaian berasaskan data, peningkatan pengurusan trafik, dan meningkatkan kesedaran untuk mengurangkan risiko.
“Saya percaya bahawa kerjasama ini, yang akan menggabungkan kepakaran Bloomberg Philanthropies dalam keselamatan jalan raya dan komitmen Malaysia dalam meningkatkan infrastruktur, akan menjanjikan impak jangka panjang yang berkesan dan lestari bagi pengguna jalan raya,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







