KKR beri jaminan teruskan projek strategik berskala besar, naik taraf jalan utama
KUALA LUMPUR – Kementerian Kerja Raya (KKR) memberi jaminan untuk terus melaksanakan projek infrastruktur strategik berskala besar di samping projek penyuraian trafik dan naik taraf jalan utama di Semenanjung.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pelaksanaan projek berimpak tinggi itu mampu mengukuhkan jaringan perhubungan negara, meningkatkan mobiliti rakyat serta membuka peluang ekonomi kepada komuniti setempat dan pemain industri tempatan.
Menurut beliau, antara projek berskala besar yang diteruskan ialah Lebuh Raya Pan Borneo Sabah, Sabah-Sarawak Link Road serta Lebuh Raya Trans Borneo.
“Kita mahu memastikan pelaksanaan pelbagai projek infrastruktur strategik ini diteruskan kerana ia memberi manfaat langsung kepada rakyat dan menyokong pertumbuhan ekonomi negara.
“Sepanjang tahun ini, KKR turut melaksanakan pembinaan serta naik taraf jalan persekutuan, kerja penyelenggaraan dan pembaikan jambatan, selain penambahbaikan fasiliti awam di seluruh negara bagi meningkatkan tahap keselamatan, aksesibiliti dan kesejahteraan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Malam Media Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Anugerah Media Pembinaan CIDB 2025 (AMP 2025), di sini, malam tadi.
Dalam perkembangan berkaitan, Alexander berkata, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) memperkenalkan Kad Hijau CIDB versi baharu khusus untuk personel tapak binaan.
Menurutnya, inisiatif itu bertujuan memastikan hanya tenaga kerja yang berdaftar, terlatih serta mematuhi standard keselamatan dibenarkan bertugas di tapak pembinaan.
“Langkah ini secara tidak langsung dapat mengurangkan risiko kemalangan di tapak binaan dan meningkatkan tahap profesionalisme industri pembinaan negara,” katanya.
Sementara itu, beliau menegaskan peranan media amat signifikan dalam menyokong pelaksanaan dasar dan hala tuju sektor pembinaan yang digariskan oleh KKR serta CIDB.
Katanya, laporan yang tepat, seimbang dan bertanggungjawab membantu memastikan dasar, peraturan serta inisiatif kerajaan dapat difahami dengan jelas oleh pemain industri dan masyarakat.
“Dalam sektor pembinaan yang melibatkan kepentingan awam dan tertakluk kepada kawal selia ketat, liputan media berkualiti menjadi pemangkin kepada pematuhan piawaian keselamatan, kualiti kerja serta amalan pembinaan mampan,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















