Tiada laporan kerosakan susulan gempa kuat di perairan Sabah
KUALA LUMPUR – Kementerian Kerja Raya (KKR) tidak menerima sebarang laporan kerosakan membabitkan aset mahupun laluan Jalan Persekutuan diterima susulan gempa bumi bermagnitud 6.8 yang melanda Sabah, semalam.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi bagaimanapun berkata, pihaknya sentiasa bersiap sedia dan memantau rapi situasi berkenaan dari semasa ke semasa, lapor BERNAMA.
“Saya difahamkan setakat ini kami tak ada menerima apa-apa laporan kerosakan tetapi apabila berlaku gempa bumi, memang KKR akan terus memantau situasi itu dari semasa ke semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pelancaran Pelan Tindakan Pembinaan 2026-2030 (CAP30) di Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), di sini hari ini.
Hadir sama, Pengerusi CIDB Malaysia, Datuk Ir Yusuf Abd Wahab.
Alexander kemudiannya berkata, Malaysia sudah mengguna pakai piawaian kod reka bentuk bangunan bagi menangani ketahanan struktur terhadap bencana gempa bumi.
Jelas beliau, kod itu telah diterima pakai sejak lebih lapan tahun lepas dengan mengadaptasi standard antarabangsa dan kini menjadi antara keperluan dalam industri pembinaan negara.
“Kod ini saya difahamkan Malaysia sudah terima pakai, iaitu Malaysian National Annex to Eurocode 8 (MS EN 1998-1:2015), Design Of Structures For Earthquake Resistance sejak akhir 2017,” katanya.
Semalam, satu gempa bumi kuat bermagnitud 6.8 melanda perairan Sabah pada 12.57 tengah malam namun tidak membawa sebarang ancaman tsunami.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia, Dr Mohd Hisham Mohd Anip memaklumkan gempa bumi yang berpusat 49 kilometer ke barat Kudat itu tidak membawa ancaman tsunami, namun ia antara yang terkuat pernah direkodkan di negara ini dalam tempoh 11 tahun.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








