Kerajaan peruntuk RM450 juta perkasa kontraktor kecil Bumiputera
KUALA LUMPUR – Sebanyak RM450 juta diperuntukkan kerajaan tahun ini bagi memperkukuh penyertaan kontraktor kecil Bumiputera kelas G1 hingga G4 dalam projek penyelenggaraan jalan Persekutuan di seluruh negara.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Ahmad Maslan berkata, itu membabitkan 664 kontraktor G1 hingga G4 yang dipilih melalui kaedah undian, dengan semua kerja dijangka siap sepenuhnya pada 30 Oktober ini.
Beliau berkata, langkah berkenaan bagi memastikan kontraktor tempatan terus diberi keutamaan dalam pelaksanaan projek pembinaan dan penyelenggaraan di bawah Kementerian Kerja Raya (KKR), termasuk di Langkawi.
“Dasar ini juga selaras dengan Dasar Pembinaan Negara 2030 (NCP 2030) yang menekankan pembangunan ekosistem industri pembinaan secara inklusif dengan memberi tumpuan kepada penglibatan kontraktor kecil tempatan.
“Jabatan Kerja Raya (JKR) turut melaksanakan Program Mempercepat Penyenggaraan Jalan dengan Memanfaatkan Kontraktor G1 hingga G4 yang membolehkan kontraktor kecil dilantik melalui kaedah cabutan undi bagi melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan di seluruh negara melalui syarikat konsesi,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Mohd. Suhaimi Abdullah (PN-Langkawi) yang meminta penjelasan mengenai dasar KKR dalam memastikan pembabitan kontraktor tempatan khususnya di Langkawi, serta usaha memperkasakan kontraktor G1 hingga G3.
Ahmad berkata, KKR melalui Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) turut melaksanakan pelbagai program pembangunan kapasiti dan keusahawanan kontraktor tempatan.
Antara program yang dilaksanakan termasuk Program Accelerator for Construction Entrepreneurs (ACE) yang menumpukan pembangunan kontraktor belia Bumiputera G1 hingga G4, dengan lebih 300 kontraktor telah dilatih sejak 2022.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








