BERITA SEMASA

Rayer persoal penahanan dua podcaster, gesa Menteri Dalam Negeri dan KPN beri penjelasan

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer mempersoalkan tindakan polis menahan dua podcaster, Brian Tan dan Shamsul Saad serta menggesa Menteri Dalam Negeri serta Ketua Polis Negara (KPN) memberikan penjelasan berhubung alasan penahanan kedua-dua individu terbabit.

Rayer berkata, orang ramai berhak mengetahui kandungan podcast berkenaan yang didakwa begitu kontroversi sehingga membawa kepada tindakan penahanan oleh pihak polis.

Beliau menegaskan bahawa kegiatan podcast bukan satu jenayah dan perbincangan politik, termasuk pandangan yang kontroversi atau tidak selesa didengar, tidak sepatutnya secara automatik menjadi kesalahan jenayah yang membawa kepada penangkapan dan penahanan.

“Wacana politik tidak seharusnya dikawal oleh ketakutan terhadap tindakan balas. Ini tidak mencerminkan semangat reformasi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer.

Rayer turut mempersoalkan tindakan polis terhadap pendakwah Ridhuan Tee yang didakwanya masih bebas walaupun beberapa hantaran di Facebook sebelum ini menyentuh isu sensitiviti agama dan kaum.

Beliau berkata, satu laporan polis baru-baru ini telah dibuat oleh anggota PKR, Rozan Azen Mat Rasip, terhadap Ridhuan Tee berhubung dakwaan hantaran yang dianggap sensitif serta memecahbelahkan masyarakat berdasarkan kaum dan agama.

“Apakah tindakan yang telah diambil oleh polis?” soal beliau.

Rayer turut mendakwa Ridhuan Tee baru-baru ini melabel penyokong Melayu Pakatan Harapan (PH) sebagai “barua” atau orang suruhan, manakala penyokong bukan Melayu PH sebagai “kafir harbi”.

Sehubungan itu, beliau mempersoalkan mengapa tindakan tangkapan belum diambil terhadap Ridhuan Tee dan mengapa beliau masih diberikan kebebasan untuk meneruskan hantaran di media sosial.

“Berapa banyak laporan polis perlu dibuat sebelum Ridhuan Tee ditahan?” katanya.

Dalam kenyataan sama, Rayer turut meminta perkembangan siasatan terhadap laporan polis yang dibuatnya berhubung Ahli Parlimen Jempol, Shamsulkahar Deli.

Menurut Rayer, Shamsulkahar ketika berkempen pada pilihan raya di Negeri Sembilan baru-baru ini didakwa mendakwa DAP bertanggungjawab terhadap penyebaran imej seekor babi yang diedit dalam pakaian diraja.

Beliau turut mendakwa Ahli Parlimen UMNO itu menuduh DAP menyasarkan Sultan Selangor dalam ucapannya.

Rayer mempersoalkan mengapa tiada tindakan tangkapan diambil terhadap Shamsulkahar sehingga kini, sambil menyifatkan kenyataan berkenaan sebagai berniat jahat, melulu, berbahaya dan boleh mencetuskan perpecahan kaum.

Pada masa sama, Rayer menegaskan prinsip kesamarataan di sisi undang-undang seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan perlu dihormati.

“Perlembagaan Persekutuan menyatakan tiada sesiapa berada di atas undang-undang dan semua orang adalah sama di sisi undang-undang.

“Tindakan polis secara terpilih ini mesti dihentikan serta-merta,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button