Rayer desak siasatan telus kes kematian Noorizwan dalam tahanan
KUALA LUMPUR – Menteri Dalam Negeri dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) digesa campur tangan segera bagi memastikan kematian Noorizwan Zulkefly, 42, dalam tahanan disiasat secara menyeluruh, telus dan tanpa sebarang kompromi.
Desakan itu disuarakan Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer yang turut meminta pegawai penyiasat serta anggota polis yang terlibat dalam proses soal siasat Allahyarham digantung tugas sementara siasatan dijalankan.
“Kecederaan serius yang dilaporkan dialami Noorizwan menimbulkan persoalan besar yang perlu dijawab oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), khususnya berhubung keadaan mangsa ketika berada dalam tahanan.
“Penjelasan kononnya beliau hanya terjatuh dalam lokap langsung tidak boleh diterima,” katanya dalam satu sidang media di Parlimen, hari ini.
Antara kecederaan yang dilaporkan termasuk enam tulang rusuk patah, kecederaan serius pada kepala, bengkak di kaki dan lutut, luka pada bahagian belakang badan serta pergelangan tangan, selain pendarahan pada usus dan otak.
Menurutnya, walaupun menghormati peranan dan pengorbanan anggota polis dalam menjalankan tugas, insiden kematian dalam tahanan itu perlu diberikan perhatian serius, terutama berikutan persoalan mengenai kaedah soal siasat yang digunakan.
“Susulan itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadhil Marsus, menjelaskan identiti pegawai penyiasat dan anggota yang terlibat dalam proses berkenaan, termasuk sama ada tindakan penggantungan tugas sudah dilaksanakan.
“Siapakah pegawai penyiasat yang terlibat dan adakah mereka telah digantung tugas dengan serta-merta? Siapakah anggota pasukan yang melakukan interogasi terhadap Noorizwan?” soalnya.
Beliau berkata, kejadian itu turut mengimbau beberapa kes kematian dalam tahanan yang pernah mencetuskan perhatian umum sebelum ini, termasuk kes A. Kugan dan Teoh Beng Hock, selain satu lagi kes di Melaka yang menurutnya masih belum diselesaikan.
Dalam perkembangan berkaitan, Rayer memaklumkan bahawa Noorizwan difahamkan pada awalnya disiasat mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 sebelum dibebaskan kerana kekurangan keterangan.
Bagaimanapun, Allahyarham kemudiannya ditahan semula bagi membantu siasatan kes kecurian oleh Cawangan Jenayah.
Sehubungan itu, Rayer menggesa supaya kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan bagi menyiasat kemungkinan berlakunya kesalahan membunuh.
Beliau menegaskan, orang ramai perlu diberikan penjelasan mengenai jumlah anggota yang terlibat dalam proses soal siasat serta tindakan yang dikenakan terhadap mereka bagi mengelakkan timbulnya pelbagai persoalan.
Mengulas permintaan Fadhil supaya orang ramai tidak membuat spekulasi mengenai kes itu, Rayer berkata, pihaknya menghormati gesaan berkenaan, namun PDRM perlu membuktikan bahawa siasatan dilaksanakan secara terbuka, adil dan tanpa pilih kasih.
“Sekiranya terdapat bukti berlakunya kekerasan atau kesalahan oleh pegawai yang terlibat, mereka mesti dihadapkan ke mahkamah dengan pertuduhan yang paling berat,” tambahnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |





