Rayer gesa gelaran ‘Tun’ ditarik balik daripada Mahathir
KUALA LUMPUR – RSN Rayer menggesa kerajaan untuk menarik balik darjah kebesaran Seri Maharaja Mangku Negara (SMN) yang dikurniakan kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Menurut Ahli Parlimen Jelutong itu, tindakan tersebut boleh diambil selepas bekas Ahli Parlimen Langkawi itu dikatakan berterusan menyerang dan menghina institusi diraja.
“Kita lihat beliau (Dr Mahathir) melakukan Proklamasi Melayu dan mungkin akan bekerjasama dengan Pagoh (Tan Sri Muhyiddin Yassin) yang mengkhianati beliau, sebelum ini.
“Kedua-dua mereka ingin menghancurkan negara dan tidak mahu membenarkan Tambun (Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim) melaksanakan tugas menjaga kebajikan rakyat,” katanya ketika membahaskan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2021 buat pertama kali di Dewan Rakyat, hari ini.
Untuk rekod, Dr Mahathir dianugerahkan darjah kebesaran SMN Pangkat Pertama pada Oktober 2003, selepas melepaskan jawatannya sebagai Perdana Menteri selama 22 tahun, menggantikan Tun Hussein Onn.
Sebelum ini, bekas Pengerusi Pejuang itu dan isterinya dilapor memulangkan Darjah dan Bintang Kebesaran Sultan Selangor, pada 7 Disember 2017.
Difahamkan Dr Mahathir memulangkan Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkamah Selangor (SPMS) dan Darjah Kerabat Yang Amat Dihormati (DK) manakala Dr Siti Hasmah memulangkan Darjah Kebesaran Datuk Paduka Mahkota Selangor (DPMS) dan SPMS.
Dalam pada itu, Rayer memohon agar Dr Mahathir berhenti menghina dan membuat serangan berterusan terhadap institusi diraja di negara ini.
“Saya minta seperti diucapkan Tambun di Istana Negara semalam (kelmarin), supaya Polis Diraja Malaysia tidak berkompromi dan mengambil tindakan terhadap Tun M (Dr Mahathir) kalau berterusan menyerang kerabat diraja,” pohonnya.
Darjah kebesaran SMN terhad kepada 25 penerima pada satu-satu masa, tidak termasuk warga asing yang menerimanya sebagai anugerah kehormat dengan penyandang akan membawa gelaran Tun, manakala isterinya bergelar Toh Puan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







