DAPSY sokong gesaan Rayer supaya Peguam Negara semak semula kes Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR – Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) menyokong penuh gesaan Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer supaya Peguam Negara menyemak semula keputusan menghentikan pendakwaan terhadap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membabitkan 47 pertuduhan rasuah.
DAPSY berkata, semakan itu perlu merangkumi kemungkinan untuk meneruskan semula pendakwaan sekiranya bukti dan keadaan perundangan menunjukkan asas yang kukuh serta wajar, selaras dengan prinsip kesamarataan di sisi undang-undang.
Menurut DAPSY, gesaan Rayer bukan sekadar berkaitan satu kes tertentu, sebaliknya turut menyentuh kredibiliti agenda reformasi institusi negara.
Katanya, kerajaan MADANI sebelum ini telah menunjukkan iltizam politik dalam memerangi rasuah dengan mengambil tindakan terhadap beberapa bekas menteri dan ahli politik.
“Namun, kredibiliti kerajaan boleh terjejas sekiranya standard yang sama tidak diterapkan terhadap ahli politik yang berada dalam kerajaan,” menurutnya dalam satu kenyataan.
DAPSY menegaskan usaha membanteras rasuah tidak boleh mewujudkan sebarang kawasan kelabu atau “zon politik khas” yang membuka ruang kepada pengecualian.
Menurutnya, hanya dengan menggunakan standard yang sama terhadap semua kes, kerajaan dapat memperkukuh kedaulatan undang-undang serta membina semula keyakinan rakyat terhadap agenda reformasi institusi.
DAPSY turut membangkitkan keputusan Mahkamah Tinggi pada 2022 yang mendapati pihak pendakwaan telah membuktikan kes prima facie terhadap Ahmad Zahid.
Katanya, keputusan Peguam Negara memberikan pelepasan tanpa pembebasan atau discharge not amounting to an acquittal (DNAA) dan kemudian mengambil tindakan lanjut dengan status tiada tindakan lanjut (NFA) telah menyebabkan Majlis Peguam Malaysia memfailkan semakan kehakiman.
“Dalam jangka panjang, perkembangan berkaitan kes ini berisiko terus menghakis keyakinan awam terhadap institusi kehakiman dan pendakwaan negara,” katanya.
Sehubungan itu, DAPSY berpandangan kebimbangan awam terhadap kes berkenaan menunjukkan keperluan mendesak untuk memperkukuh ketelusan dan akauntabiliti dalam institusi terbabit.
DAPSY turut menggesa Peguam Negara menerapkan standard ketelusan tertinggi ketika mengendalikan kes berprofil tinggi yang melibatkan kepentingan awam.
Katanya, Peguam Negara perlu menjelaskan secara terperinci asas undang-undang serta alasan yang digunakan dalam membuat keputusan bahawa bukti sedia ada tidak mencukupi untuk menyokong pertuduhan.
“Dalam keadaan kebimbangan yang semakin meningkat berhubung kes kontroversi ini, Peguam Negara perlu menunjukkan profesionalisme yang tidak berbelah bahagi dalam melaksanakan kuasa pendakwaannya bagi menangani serta meredakan kebimbangan rakyat terhadap kebebasan sistem pendakwaan,” katanya.
Dalam pada itu, DAPSY menegaskan kerajaan perlu mempercepatkan agenda reformasi institusi, khususnya usaha memisahkan peranan dan kuasa Peguam Negara dengan Pendakwa Raya.
Langkah itu, katanya, penting bagi mengurangkan risiko campur tangan politik dalam sistem pendakwaan.
DAPSY turut berkata golongan muda Malaysia sudah muak dengan naratif politik lama dan kini mahukan “Politik Baharu” yang berteraskan integriti politik, akauntabiliti serta keadilan prosedur.
“Sebarang penghakisan kedaulatan undang-undang atas nama kestabilan politik akan menjejaskan keyakinan golongan muda terhadap transformasi demokrasi negara,” katanya.
Menurut DAPSY, anak muda Malaysia mahukan institusi yang bersih, telus dan komited untuk menerapkan standard sama kepada semua pihak tanpa mengira kedudukan politik.
Sehubungan itu, DAPSY menggesa Peguam Negara menunjukkan komitmen dalam mempertahankan pentadbiran keadilan dengan menyemak semula bukti dan pertuduhan dalam kes Yayasan Akalbudi.
“Malaysia hanya mampu bergerak ke arah sebuah masyarakat demokratik yang benar-benar matang dengan mempertahankan kedaulatan undang-undang serta memastikan pertimbangan politik tidak mengatasi keadilan,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








