PKD-NADI perkukuh penyelarasan, perluas capaian perkhidmatan – MCMC
CYBERJAYA – Bengkel Kerjasama Strategik PKD-NADI menjadi langkah penting dalam memperkukuh penyelarasan antara Pusat Komuniti Desa (PKD) dan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI), sekali gus memperluas capaian perkhidmatan kepada masyarakat.
Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), bengkel selama dua hari bermula hari ini itu bertujuan memperluas akses masyarakat, khususnya di kawasan luar bandar, kepada pelbagai program pembangunan kapasiti, peningkatan kemahiran, keusahawanan dan inisiatif pembangunan komuniti lain.
“Bengkel itu menghimpunkan wakil Kementerian Komunikasi (KK), Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), MCMC serta pihak berkaitan bagi meneliti pendekatan untuk memperkukuh fungsi dan meningkatkan penyelarasan antara PKD dan NADI,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baca juga : PKD, NADI perlu diselaras demi mudahkan urusan rakyat – Ahmad Zahid
Terdahulu, Bengkel Kerjasama Strategik PKD-NADI disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam satu majlis yang turut dihadiri Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil di Menara MCMC di sini, hari ini.
Menurut MCMC lagi, kerjasama itu selaras dengan pendekatan ‘whole of government’ dalam mengurangkan pertindihan, mengoptimumkan sumber sedia ada serta meningkatkan capaian perkhidmatan dan program pembangunan komuniti.
“Pelbagai isu, cabaran dan cadangan akan diteliti sepanjang bengkel berlangsung bagi membentuk model kolaborasi PKD-NADI yang lebih berkesan, termasuk aspek perkongsian kemudahan, penyelarasan program komuniti dan pengukuhan penyampaian perkhidmatan di peringkat akar umbi.
“Hasil perbincangan akan dijadikan input kepada kedua-dua kementerian dalam memperincikan kerangka pelaksanaan serta langkah susulan yang dapat meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan,” katanya.
Sementara itu, MCMC memaklunmkan pada masa ini, terdapat 1,099 NADI di bawah KK dan 191 PKD di bawah KKDW di seluruh negara yang berperanan penting dalam pembangunan dan pemerkasaan komuniti, khususnya masyarakat luar bandar.
Untuk rekod, NADI kini mempunyai lebih dua juta pengguna dan melaksanakan Program Perkhidmatan Pintar NADI dalam lima bidang utama iaitu keusahawanan, pembelajaran sepanjang hayat, kesejahteraan kendiri, kesedaran dan inisiatif kerajaan, manakala PKD pula telah melaksanakan lebih 29,000 program yang memberi manfaat kepada lebih 746,000 penduduk luar bandar dalam tempoh lima tahun.
Model NADI turut mendapat pengiktirafan menerusi World Summit on the Information Society (WSIS) Prizes 2025 bagi kategori Capacity Building serta sebagai Digital Transformation Center (DTC) ke-16 dunia oleh Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) pada Mac lalu.
Pengiktirafan itu mencerminkan keberkesanan pendekatan NADI dalam pembangunan kapasiti dan transformasi digital komuniti, sekali gus menyediakan asas kukuh dalam kerangka model kerjasama PKD-NADI.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








