MCMC uji kualiti liputan 4G dan 5G sepanjang laluan ETS KL Sentral–Segamat
SEGAMAT – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) melaksanakan ujian kelajuan dan kualiti liputan rangkaian 4G dan 5G sepanjang laluan Kereta Api Elektrik (ETS) dari KL Sentral ke Segamat, Johor, hari ini.
Ujian berkenaan turut disertai Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, sebagai sebahagian usaha menilai prestasi sebenar liputan selular di sepanjang koridor pengangkutan utama negara.
MCMC berkata, ujian tersebut dijalankan dengan kerjasama penyedia perkhidmatan telekomunikasi utama iaitu CelcomDigi, Maxis, U Mobile, TM Tech, YTL Communications dan Digital Nasional Berhad (DNB).
“Ujian ini bertujuan menilai prestasi liputan serta kelajuan rangkaian 4G dan 5G secara masa nyata di sepanjang laluan rel yang merentasi beberapa negeri iaitu Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
MCMC memaklumkan, pelbagai parameter teknikal diukur termasuk kelajuan muat turun dan muat naik, kestabilan sambungan data serta kesinambungan liputan tanpa gangguan menggunakan peralatan khusus dan aplikasi pemantauan rangkaian.
Jelasnya, usaha tersebut merupakan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam memastikan liputan komunikasi yang stabil dan berkualiti tinggi bukan sahaja di kawasan berpenduduk, malah di laluan pengangkutan awam utama.
“Ketika ini, sekitar 71 peratus kawasan liputan negara telah dilengkapi perkhidmatan 5G dan peluasan akan diteruskan secara berperingkat,” katanya lagi.
MCMC turut mengesan beberapa lokasi luar bandar dan jajaran tertentu termasuk di Negeri Sembilan, Melaka serta Johor utara yang menunjukkan penurunan kualiti liputan dan kelajuan muat turun, sekali gus memerlukan penambahbaikan oleh penyedia perkhidmatan.
Tambahnya, semua dapatan ujian akan dianalisis secara terperinci bagi mengenal pasti jurang liputan serta merangka tindakan susulan bersama pihak industri.
Dalam tempoh 1 Januari hingga 15 April 2026 pula, sebanyak 2,350 audit telah dijalankan dengan 280 notis pematuhan dikeluarkan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 terhadap penyedia perkhidmatan yang gagal mematuhi Standard Mandatori Kualiti Perkhidmatan.
MCMC turut menggalakkan orang ramai menggunakan aplikasi MCMC NEXUS bagi menguji kelajuan internet serta menyumbang data prestasi rangkaian secara masa nyata tanpa melibatkan maklumat peribadi pengguna.
Turut hadir ialah Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah dan Pengarah Urusan MCMC, Tan Sri Abdul Karim Fakir Ali.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |
















