MCMC seru rakyat Malaysia undi projek inovasi negara di WSIS Prizes 2026
CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengajak rakyat Malaysia memberikan sokongan terhadap inovasi teknologi negara dengan mengundi projek-projek tempatan yang dicalonkan dalam World Summit on the Information Society (WSIS) Prizes 2026 anjuran Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU).
MCMC dalam kenyataan hari ini berkata, penyertaan Malaysia tahun ini selari dengan tema WSIS 2026 yang memberi fokus kepada pemanfaatan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) bagi mempercepat pembangunan mampan serta membina masa depan digital yang inklusif.
“Penyertaan Malaysia mencerminkan komitmen berterusan negara dalam memanfaatkan teknologi untuk kemajuan, daya tahan dan kemakmuran bersama.
“Tahun ini Malaysia terus memainkan peranan sebagai Rakan Strategik Platinum sekali gus menonjolkan sumbangan negara dalam membentuk dialog global berkaitan inovasi teknologi serta mengukuhkan kedudukan Asia Tenggara sebagai hab inovasi digital yang dinamik,” kata MCMC.
Sebanyak 10 projek diterajui Malaysia dengan sokongan MCMC telah disenarai pendek dalam pelbagai kategori melibatkan tadbir urus digital, keselamatan dalam talian, inovasi ICT, teknologi pertanian dan pembangunan komuniti.
Antara projek yang dicalonkan ialah ASEAN 5G Skills Framework and Capacity Development Platform, Communications & Infrastructure Disaster Recovery (CIDR) Plan, Human-Centered Digital Governance Through MCMC’s Five-Year Plan 2030 dan portal Sebenarnya.my.

Turut tersenarai ialah beberapa inisiatif di bawah AgriNXT termasuk projek pemberdayaan penternak melalui teknologi anggaran berat lembu berasaskan kecerdasan buatan (AI) serta pengesanan penyakit padi menggunakan AI.
Selain itu, Kempen Internet Selamat (KIS), program pengurusan e-sisa melalui kolaborasi komuniti dan inisiatif pemerkasaan komuniti untuk kesejahteraan turut menerima pencalonan.
Menurut MCMC, projek-projek berkenaan membuktikan pendekatan menyeluruh Malaysia dalam menggunakan teknologi bagi pembangunan negara termasuk memperkukuh daya tahan digital, tadbir urus, memperkasa komuniti dan mempromosikan penggunaan internet secara bertanggungjawab.
WSIS Prizes merupakan platform global yang mengiktiraf projek berasaskan ICT yang menyumbang kepada pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDG).
“Undian awam memainkan peranan penting dalam menentukan pemenang akhir dan setiap undi menjadi peluang untuk mengetengahkan inovasi serta impak Malaysia di peringkat antarabangsa,” katanya.
Orang ramai boleh mengundi melalui platform rasmi WSIS Prizes di https://www.itu.int/net4/wsis/stocktaking/Prizes/Prizes/.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







