BERITA SEMASA

MCMC pantau rapat pemulihan perkhidmatan di Kidurong susulan kebakaran

BINTULU – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang memantau rapat usaha untuk memulihkan perkhidmatan susulan insiden kebakaran yang berlaku di sebuah menara telekomunikasi di Sungai Plan, di sini pada Sabtu lepas.

Jurucakap MCMC berkata, insiden tersebut menjejaskan seramai 11,500 pengguna di kawasan sekitar Sungai Plan, Kidurong serta sepanjang jajaran Lebuh Raya Pesisir.

Katanya, pengguna yang terlibat mungkin mengalami gangguan perkhidmatan atau sambungan yang tidak stabil.

“MCMC telah mengarahkan penyedia perkhidmatan yang terlibat iaitu CelcomDigi, Maxis, U Mobile dan Sacofa untuk melaksanakan langkah-langkah mitigasi segera bagi mengurangkan impak kepada pengguna serta mempercepatkan pemulihan perkhidmatan,” katanya memetik laporan Utusan Borneo Online.

Dalam pada itu katanya, antara langkah yang sedang dilaksanakan termasuk pengoptimuman rangkaian sedia ada di kawasan berhampiran serta pemasangan Portable Base Transceiver Station (PBTS) sebagai penyelesaian rangkaian sementara bagi memulihkan liputan telekomunikasi dalam tempoh yang lebih singkat.

“Memandangkan kerja-kerja pemulihan sepenuhnya di menara terkesan memerlukan tempoh masa tertentu untuk diselesaikan, kaedah pengoptimuman rangkaian sedia ada serta PBTS akan berfungsi sebagai langkah mitigasi sementara bagi mengurangkan gangguan liputan dan memastikan kesinambungan perkhidmatan kepada pengguna yang terjejas,” jelasnya.

Menurutnya, pelaksanaan langkah-langkah mitigasi tersebut sedang berjalan dan dijangka selesai secara berperingkat sehingga Rabu ini.

Katanya, MCMC akan terus memantau rapat perkembangan kerja-kerja pemulihan serta bekerjasama dengan penyedia perkhidmatan dan agensi berkaitan bagi memastikan perkhidmatan dapat dipulihkan sepenuhnya dengan kadar segera.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button