BERITA SEMASA

Laporan awal nahas helikopter Long Lellang dibentang esok

KUALA LUMPUR – Laporan awal siasatan nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) yang mengorbankan lima nyawa termasuk empat petugas kesihatan di Long Lellang, Ulu Baram, Sarawak pada 8 September lalu dijangka dibentang kepada Jemaah Menteri esok.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, siasatan awal Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) mendapati juruterbang helikopter BO105 milik Layang-Layang Aerospace Sdn Bhd itu mempunyai lesen penerbangan dan sijil perubatan yang sah.

Beliau berkata, audit pengawasan terhadap organisasi penyelenggaraan syarikat itu yang dijalankan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) pada 1 hingga 4 September merekodkan tiga penemuan ketidakpatuhan dan tiga pemerhatian, dengan hanya satu penemuan berkaitan perancangan tenaga kerja masih menunggu pengesahan akhir ketika nahas berlaku.

Bagaimanapun, katanya, penemuan itu bersifat pentadbiran dan organisasi serta tidak mempunyai kaitan langsung dengan keadaan teknikal helikopter.

Katanya, siasatan masih diteruskan, manakala laporan muktamad perlu disediakan dalam tempoh setahun dari tarikh nahas.

“Siasatan masih diteruskan dan satu laporan muktamad berhubung kemalangan udara ini perlu disediakan dalam tempoh setahun dari tarikh kemalangan,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

CAAM turut memeriksa helikopter BO105 lain dan pesawat yang menggunakan enjin Rolls-Royce RR250 sebelum membenarkan pesawat berkenaan kembali beroperasi selepas pemeriksaan serta tindakan pembetulan diselesaikan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button