BERITA SEMASA

Tarif elektrik: Konsep bayar ikut penggunaan bermula tahun depan

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan memperkenalkan konsep bayar mengikut penggunaan (user pay) bagi bekalan elektrik tahun depan bagi memastikan pengagihan kos lebih adil, selain melindungi kepentingan pengguna domestik.

Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, Suruhanjaya Tenaga (ST) diberi tanggungjawab menjalankan kajian terperinci bagi menilai pendekatan bersesuaian untuk pelaksanaan konsep berkenaan.

Menurutnya, pendekatan itu membolehkan kadar tarif elektrik bagi pengguna domestik dan sektor industri ditetapkan secara berbeza berdasarkan corak penggunaan tenaga.

“Konsep user pay akan membolehkan kadar tarif bagi pengguna domestik dan sektor industri ditetapkan secara berbeza berdasarkan corak penggunaan tenaga.

“Ia sekali gus memastikan pengagihan kos lebih adil dan saksama serta melindungi kepentingan pengguna domestik,” katanya ketika Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Azli Yusof (PH-Shah Alam) mengenai langkah kawalan yang lebih tuntas dan bersasar bagi memastikan tarif elektrik kekal munasabah.

Fadillah berkata, kerajaan mengambil perhatian serius terhadap peningkatan bil elektrik pengguna domestik di Semenanjung Malaysia, terutama susulan krisis bekalan global.

“Kerajaan berusaha memastikan peningkatan kos tidak ditanggung sepenuhnya oleh rakyat, termasuk melalui perluasan perlindungan bil elektrik yang diumumkan pada 18 September lalu bagi tempoh 1 September hingga 31 Disember ini.

“Pengguna domestik yang merekodkan penggunaan elektrik sehingga 800 kilowatt-jam (kWj) sebulan, bersamaan anggaran bil bulanan RM328 ke bawah, dikecualikan sepenuhnya daripada Pelarasan Kos Bahan Api Secara Automatik (AFA), Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) serta caj peruncitan,” katanya.

Beliau berkata, langkah itu memberi manfaat kepada kira-kira lapan juta pengguna domestik, bersamaan 90 peratus daripada keseluruhan pengguna domestik di Semenanjung Malaysia.

Dalam pada itu, Fadillah berkata, pengguna yang menggunakan elektrik di bawah 1,000 kWj sebulan turut layak menerima rebat menerusi Skim Insentif Cekap Tenaga yang diperkenalkan di bawah penstrukturan tarif baharu dan berkuat kuasa sejak 1 Julai 2025.

“Insentif berkenaan bertujuan menggalakkan penggunaan elektrik secara cekap tenaga,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button