BERITA SEMASA

Bil elektrik mencanak, AMK desak kerajaan bertindak

KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa menilai semula mekanisme Pelarasan Bahan Api Automatik (AFA) bagi pengguna domestik susulan peningkatan kadar yang didakwa semakin membebankan isi rumah.

Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia, Danish Hairudin berkata, kenaikan bil elektrik walaupun hanya sekitar RM30 hingga RM100 sebulan tetap memberi kesan kepada keluarga yang perlu mengutamakan perbelanjaan harian.

Menurutnya, pengguna domestik yang menggunakan lebih 600 kilowatt-jam (kWh) sebulan kini terdedah kepada AFA dengan kadar yang meningkat daripada 2.59 sen/kWh pada Jun kepada 3.59 sen/kWh pada Julai, 3.80 sen/kWh pada Ogos dan 3.67 sen/kWh pada September.

“Kerajaan mungkin tidak mampu mengawal harga tenaga dunia, tetapi kita boleh menentukan sejauh mana tekanan itu perlu dipindahkan kepada rakyat.

“Sebab itu saya menggesa Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) serta Suruhanjaya Tenaga menilai semula tahap perlindungan AFA kepada pengguna domestik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, had penggunaan 600 kWh semata-mata tidak semestinya mencerminkan kemampuan sebenar sesebuah isi rumah kerana terdapat keluarga berpendapatan rendah dan sederhana yang mempunyai ramai tanggungan, warga emas atau ahli keluarga yang memerlukan peralatan perubatan di rumah.

Katanya, kerajaan tidak perlu kembali kepada pendekatan subsidi pukal, sebaliknya boleh mempertimbangkan perlindungan AFA secara lebih bersasar dan berperingkat berdasarkan pendapatan, bilangan tanggungan serta keperluan sebenar pengguna.

Dalam pada itu, Danish turut menggesa Tenaga Nasional Berhad (TNB) memperkemaskan pelaksanaan skim Time-of-Use (TOU) supaya lebih mudah difahami dan mampu membantu pengguna mengurangkan bil elektrik.

“Jangan sekadar suruh rakyat berjimat. Tunjukkan kepada rakyat bagaimana mereka boleh berjimat,” katanya lagi.

Menurut beliau, penggunaan elektrik pada waktu luar puncak seperti selepas jam 10 malam, sebelum jam 2 petang pada hari bekerja dan sepanjang hujung minggu berpotensi membolehkan pengguna menikmati kadar caj yang lebih rendah menerusi TOU.

Beliau turut mencadangkan TNB memanfaatkan data daripada meter pintar untuk membantu pengguna menilai sama ada skim TOU sesuai dengan corak penggunaan masing-masing serta menganggarkan jumlah penjimatan yang boleh diperoleh.

Bagaimanapun, katanya, TOU bukan penyelesaian kepada semua pengguna kerana tidak semua isi rumah mempunyai fleksibiliti untuk mengubah waktu penggunaan elektrik, khususnya keluarga yang mempunyai anak kecil, warga emas atau ramai penghuni.

“Penyelesaian kepada tekanan bil elektrik perlu merangkumi TOU, perlindungan AFA yang lebih bersasar dan campur tangan kerajaan apabila berlaku kejutan luar biasa dalam harga tenaga dunia.

“Apabila keadaan berubah dan rakyat mula terhimpit, kerajaan mesti mendengar dan bertindak. Rakyat cuma tidak mahu kejutan harga tenaga dunia ditanggung sendirian,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button