SPRM kemuka 5 syor perkukuh tatakelola PTGWPKL, UJKTWP
PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerusi Bahagian Penyiasatan Tatakelola (BPT) membentangkan lima syor cadangan penambahbaikan tatakelola kepada Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PTGWPKL) serta Urus Setia Jawatankuasa Kerja Tanah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (UJKTWP).
Penyiasatan tatakelola oleh BPT SPRM memberi tumpuan terhadap proses pembatalan perizaban, permohonan dan pemberimilikan tanah rizab kerajaan Persekutuan kepada syarikat dan pemaju.

Langkah tersebut penting bagi memastikan pengurusan tanah rizab Kerajaan Persekutuan kepada syarikat dan pemaju beroperasi secara teratur, telus, konsisten, dan berintegriti sekali gus menutup ruang kelemahan tatakelola dalam pengurusan tanah.
Syor penambahbaikan tatakelola yang dicadangkan meliputi pengukuhan tatacara permohonan dan pemberimilikan tanah, penyeragaman senarai semak dan dokumen wajib, penambahbaikan proses mesyuarat Jawatankuasa Kerja Tanah, pengukuhan tatacara pembatalan perizaban serta mekanisme pemantauan dan jejak audit.
Selain itu, BPT SPRM turut mencadangkan supaya setiap keputusan dibuat adalah berdasarkan proses yang jelas, dokumen yang lengkap dan rekod yang boleh disemak.
Kesemua syor berkenaan telah dibentangkan oleh Ketua Cawangan A BPT SPRM, Yasmin Azura Yahya di Bilik Mesyuarat Utama, PTGWPKL, di sini semalam.
Sementara itu, PTGWPKL bersama UJKTWP menyambut baik syor berkenaan dan menyatakan persetujuan secara prinsip serta memberikan komitmen penuh untuk melaksanakan tindakan susulan demi memperkemas prosedur sedia ada.
Persetujuan dizahirkan menerusi pemeteraian Laporan Penambahbaikan Tatakelola yang ditandatangani bersama antara Pengarah BPT SPRM, Datuk Mohd Zaki Hassan dengan Timbalan Pengarah Sektor Khidmat Pengurusan PTGWPKL, Imran Jamalul-Lail serta Penolong Setiausaha Unit Pemasaran Hartanah dan Pentadbiran UJKTWP, Siti Sarah Mohd Adnan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







