
TNB catat kerugian RM4.57 bilion akibat tenaga dicuri sindiket bitcoin
KUALA LUMPUR – Aktiviti perlombongan mata wang kripto khususnya bitcoin terus menjadi liabiliti besar kepada negara apabila Tenaga Nasional Berhad (TNB) menanggung kerugian mencecah RM4.57 bilion akibat penggunaan elektrik secara haram sejak 2020 hingga Ogos lalu.
Jumlah kerugian itu dibongkar hasil pemeriksaan terhadap 13,827 premis yang dikesan menjalankan kegiatan mencuri elektrik untuk mengoperasikan mesin perlombongan aset digital tersebut.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, bagi mengekang kegiatan tersebut, TNB telah mewujudkan satu pangkalan data lengkap melibatkan pemilik dan penyewa premis yang disyaki terbabit.
Langkah tersebut katanya, akan memudahkan proses pengesanan serta pemantauan sebelum tindakan pemeriksaan dijalankan.
Menurut Fadillah, kementeriannya serta Suruhanjaya Tenaga (ST) bersama TNB, komited membanteras pengusikan meter dan penggunaan elektrik secara haram yang bukan sahaja mengancam keselamatan pengguna, malah menjejaskan kestabilan ekonomi negara.
“Aktiviti ini meningkatkan risiko keselamatan awam, merosakkan harta benda dan menjadi ancaman serius kepada sistem bekalan tenaga negara,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat semalam.
Beliau menjawab soalan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) mengenai jumlah premis yang dibongkar serta kerugian akibat penggunaan elektrik secara haram untuk perlombongan kripto dan tindakan pencegahan yang diambil TNB.
Fadillah berkata, TNB bersama agensi penguatkuasaan melaksanakan operasi strategik dan bersepadu membabitkan kementerian, ST, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Turut terlibat, Cyber Security Malaysia (CSM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Melalui operasi itu, TNB dapat merampas mesin perlombongan bitcoin di premis berkenaan sekali gus membanteras kegiatan tersebut secara lebih berkesan.
Selain itu, kempen kesedaran awam juga digerakkan melalui siaran akhbar, slot televisyen dan pelbagai medium komunikasi massa, selain sesi libat urus bersama Ahli Parlimen, kementerian, ST dan pegawai kehakiman bagi mengukuhkan sokongan terhadap usaha mengekang kecurian elektrik.
Pada masa sama, pemantauan teknikal turut dipertingkat melalui Projek Perintis Distribution Transformer Meter (DTM) di pencawang pembahagian bagi mengesan corak penggunaan tenaga luar biasa serta jurang tenaga yang menunjukkan kemungkinan berlakunya kecurian.
“Meter pintar juga dipasang bagi memantau penggunaan tenaga secara masa nyata supaya manipulasi atau gangguan terhadap meter dapat dikesan dengan lebih cekap dan pantas,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








