BISNES & EKONOMI

Haier perkenal mesin basuh IRIS 2698, gabung empat teknologi cucian pintar

KUALA LUMPUR – Rutin mencuci pakaian kini boleh dilakukan dalam tempoh lebih singkat apabila Haier Malaysia memperkenalkan siri mesin basuh muatan atas IRIS 2698 yang menawarkan kitaran cucian seawal 39 minit.

Pengarah Produk Haier Malaysia, Stacy Kew Poh Yin berkata, siri berkenaan menggabungkan teknologi termaju bagi meningkatkan prestasi cucian, penjagaan fabrik serta kemudahan pengendalian.

“Siri IRIS 2698 dibangunkan berasaskan empat teras utama – Clean, Care, Smart dan Health – bagi memastikan pengguna dapat menikmati pengalaman mencuci yang lebih efisien, mudah dan bebas kerisauan,” katanya dalam kenyataan.

Siri Mesin Basuh Muatan Atas IRIS 2698 dilancarkan secara rasmi pada 14 Ogos lalu dalam majlis di Mid Valley, Kuala Lumpur yang turut dihadiri rakan media, rakan niaga serta tetamu industri.

Sementara itu, Haier Electrical Appliances Malaysia Sdn Bhd memaklumkan, siri terbaharu itu direka untuk menjadikan rutin mencuci pakaian lebih pintar, mudah dan efisien, selaras dengan keperluan isi rumah moden yang semakin sibuk.

Siri berkenaan menggabungkan empat teras utama iaitu Clean, Care, Smart dan Health, menerusi teknologi cucian termaju serta ciri pintar bagi memberikan pengalaman mencuci yang lebih mudah dan menyeluruh.

Menurut Ketua Pemasaran Jenama Haier Malaysia, Julian Thean, inovasi yang dibangunkan syarikat bukan sekadar menumpukan aspek teknologi, sebaliknya bertujuan menyelesaikan cabaran sebenar yang dihadapi pengguna dalam rutin harian.

“Di Haier, kami percaya bahawa inovasi bukan sekadar tentang teknologi, tetapi tentang bagaimana teknologi tersebut dapat menyelesaikan cabaran sebenar yang dihadapi pengguna setiap hari.

“Siri IRIS 2698 mencerminkan komitmen kami untuk menyediakan penyelesaian yang lebih pintar dan mudah, sekali gus membantu keluarga menikmati kehidupan seharian yang lebih berkualiti,” katanya lagi.

Bagi aspek Clean, teknologi Double Drive menggunakan dua kuasa pemacu untuk menghasilkan pergerakan cucian lebih kuat dan berkesan, selain membantu mengurangkan pakaian daripada berbelit ketika proses cucian.

Teknologi berkenaan turut direka untuk mengendalikan pelbagai jenis pakaian termasuk muatan lebih besar, di samping memberikan kuasa cucian optimum serta penjagaan fabrik lebih baik.

Bagi Care, teknologi Essence Wash membolehkan satu kitaran cucian diselesaikan dalam tempoh hanya 39 minit berdasarkan muatan cucian yang disyorkan sehingga tiga kilogram.

haier
Siri Haier IRIS 2698 diperkenalkan dengan empat teras utama, iaitu Clean, Care, Smart dan Health bagi memberikan pengalaman cucian lebih mudah dan efisien.

Menerusi Essence Spray Technology, detergen terlebih dahulu dicampurkan menjadi pati pekat sebelum disemburkan terus pada fabrik, sekali gus membolehkan detergen meresap dengan lebih cepat dan sekata sejak awal kitaran cucian.

Sementara itu, fungsi AI Wash di bawah teras Smart menggunakan kawalan motor untuk mengesan berat cucian secara automatik, menentukan jumlah air yang sesuai serta melaraskan tempoh cucian, keamatan penggunaan detergen dan nisbah putaran mengikut keperluan cucian.

Siri itu turut dilengkapi program penjagaan khusus untuk fabrik halus serta barangan seperti cadar dan linen.

Fungsi One Touch pula membolehkan pengguna hanya menekan dan menahan butang selama tiga saat selepas menghidupkan mesin sebelum mesin menetapkan parameter cucian secara automatik dan memulakan kitaran cucian.

Bagi aspek Health, Fresh Air System memastikan tab mesin basuh berputar secara automatik setiap jam selepas kitaran cucian selesai bagi meningkatkan aliran udara, mengurangkan kelembapan dan membantu mengelakkan pembentukan bau kurang menyenangkan.

Sistem itu membolehkan pakaian kekal lebih segar sehingga 12 jam selepas selesai dicuci, memberikan pengguna lebih fleksibiliti sekiranya pakaian tidak dapat dikeluarkan serta-merta.

Haier Malaysia berkata, pelancaran Siri IRIS 2698 itu mengukuhkan komitmennya dalam membangunkan perkakas rumah inovatif yang memenuhi keperluan isi rumah moden, menerusi gabungan prestasi cucian, teknologi pintar dan reka bentuk yang mengutamakan kemudahan pengguna.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button