RENCANA

Bermula dengan mop, Malisa kini usahawan Pink Gala

BERMULA dengan mop, kunci dan rutin membersihkan sebuah homestay, siapa sangka pekerjaan yang pada awalnya dianggap sekadar membantu saudara akhirnya membuka pintu kepada dunia keusahawanan buat Malisa Mohd Ali.

Hari ini, wanita berusia 45 tahun itu bukan lagi sekadar menguruskan penginapan, sebaliknya membina perniagaan sendiri menerusi Pink Gala Service Event & Management yang turut berkembang ke bidang pengurusan acara.

Perjalanan itu bermula dengan satu peluang yang pada awalnya tidak pernah dianggap sebagai permulaan kepada sebuah perniagaan.

pink gala
Daripada unit homestay, Pink Gala Service Event & Management turut berkembang ke bidang pengurusan acara.

Malah, ketika tawaran untuk menguruskan sebuah homestay milik saudara datang beberapa kali, Malisa bersungguh-sungguh menolaknya. Ketika itu, beliau lebih selesa memberi sepenuh perhatian kepada keluarga selepas melahirkan anak kedua.

“Pada awalnya saya beberapa kali menolak tawaran itu kerana anak-anak masih kecil dan saya perlu menguruskan keluarga. Sebelum ini saya merupakan suri rumah sepenuh masa selepas melahirkan anak kedua,” katanya kepada Malaysia Tribune.

Namun, selepas beberapa kali dipelawa, hati Malisa akhirnya terbuka untuk mencuba. Siapa sangka, keputusan yang kelihatan kecil itu kemudian menjadi titik penting dalam hidupnya.

Daripada sekadar membantu menguruskan sebuah homestay, Malisa mula mengenali selok-belok industri penginapan termasuk membersihkan unit, menguruskan kunci, membantu proses daftar masuk dan daftar keluar tetamu serta memastikan segala keperluan penginapan berada dalam keadaan baik.

pink gala
Malisa bersama pelanggan Pink Gala daripada ECRL yang menetap selama dua tahun di Timur Bay, Kuantan.

Beliau turut bertanggungjawab memaklumkan kepada pemilik sekiranya berlaku kerosakan, kehilangan barangan atau sebarang masalah di unit berkenaan.

Pengalaman bekerja dari bawah itulah yang akhirnya menyemai keyakinan untuk membina perniagaan sendiri. Pada 2020, Malisa bertekad menubuhkan Pink Gala Service Event & Management.

Ditanya mengapa memilih nama Pink Gala, wanita cekal itu berkongsi ia mempunyai makna tersendiri buatnya.

“Pink itu sinonim dengan wanita, manakala Gala bagi saya melambangkan kecekalan, kekuatan dan semangat.

“Malah ia juga melambangkan kegigihan untuk memastikan setiap unit homestay yang diuruskan berada dalam keadaan baik serta siap tepat pada masa yang dijanjikan,” katanya.

Bermula dari bawah

Satu yang pasti, tiada jalan mudah bagi sesiapa jua untuk membina sebuah perniagaan.

Bagi Malisa, tahun-tahun awal Pink Gala menuntut pengorbanan masa, tenaga dan kewangan, termasuk melakukan sendiri kerja-kerja yang sepatutnya boleh diserahkan kepada pekerja bawahan.

pink gala
Malisa bersama pasukan dan orang kuat Pink Gala.

Pada ketika kos perlu dijimatkan, beliau sendiri turun padang membersihkan unit dan memastikan setiap persiapan dilakukan mengikut keperluan pelanggan.

“Pengorbanan paling besar adalah masa dan kewangan. Saya perlu banyak menggunakan masa dan tenaga sendiri untuk memastikan semuanya berjalan lancar,” jelasnya.

Selain berdepan cabaran menguruskan operasi, Malisa turut belajar menghadapi pelbagai kerenah pelanggan yang menggunakan perkhidmatannya.

Ada pelanggan yang cukup teliti sehingga perkara kecil turut menjadi persoalan, manakala ada juga yang menghubunginya pada bila-bila masa apabila berdepan masalah.

“Antara pengalaman yang banyak mengajar saya adalah apabila berdepan dengan tetamu yang agak cerewet dan perkara-perkara kecil pun perlu saya uruskan.

“Malah, ada juga yang membuat panggilan setiap masa bagi bertanyakan sesuatu perkara,” katanya.

Tambah beliau, cabaran menjadi lebih besar apabila berlaku kerosakan pada unit yang memerlukan kos pembaikan tinggi atau kehilangan barangan di homestay.

pink gala
Homestay Timur Bay antara resort berlatarkan lautan yang diuruskan Malisa melalui Pink Gala di Kuantan.

Dalam keadaan tertentu, Malisa terpaksa menggunakan modal sendiri bagi kerja penyelenggaraan, membeli peralatan dan memastikan keperluan tetamu dipenuhi.

Namun, beliau memilih untuk tidak melihat semua itu sebagai beban semata-mata.

Sebaliknya, setiap cabaran dianggap sebagai pengalaman untuk memperbaiki kelemahan dan mematangkan dirinya sebagai seorang usahawan.

“Saya sentiasa cuba belajar dan memperbaiki perkhidmatan supaya kepuasan pelanggan dapat dikekalkan.

“Kita kena bersabar dan konsisten walaupun pendapatan perniagaan pada peringkat awal tidak menentu,” katanya.

Daripada homestay kepada pengurusan acara

Perjalanan Pink Gala kemudiannya berkembang apabila Malisa mula melihat satu lagi peluang di sebalik permintaan pelanggan.

Menurutnya, semakin ramai pelanggan menghubunginya bukan sekadar untuk mendapatkan tempat penginapan bagi diri sendiri, tetapi turut membuat tempahan untuk keluarga besar dan rakan sekerja.

pink gala
Aktiviti pantai sambil menunggang kuda yang diadakan pada program Hari Keluarga baru-baru ini.

Ada yang menggunakan homestay bagi mengadakan hari keluarga, manakala sebahagian lagi menjadikannya lokasi untuk berkumpul dan meluangkan masa bersama rakan sekerja.

“Ramai pelanggan yang menghubungi saya bukan sahaja untuk menempah bagi diri sendiri, tetapi untuk keluarga besar seperti ‘family day’ dan juga rakan sekerja berkumpul.

“Dari situ saya mula mengorak langkah ke bidang pengurusan acara bagi melengkapkan perniagaan yang dimulakan,” katanya.

Bagi Malisa, perkembangan itu bukan sekadar menambah perkhidmatan, tetapi membuka peluang untuk memberikan pengalaman yang lebih menyeluruh kepada pelanggan.

Konsep yang dibawanya kini bukan hanya menyediakan tempat untuk bermalam, sebaliknya memastikan tetamu menikmati pengalaman yang selesa, teratur dan meninggalkan kenangan manis.

Kualiti menjadi keutamaan

Dalam industri yang sangat bergantung kepada pengalaman pelanggan, Malisa menyedari bahawa kepercayaan tidak boleh dibina dalam sehari.

Justeru, kebersihan, keselesaan dan ketepatan masa menjadi antara perkara yang diberi perhatian dalam setiap pengurusan unit.

pink gala
Salah satu unit homestay yang ditawarkan Pink Gala di Timur Bay. 

Setiap penginapan perlu dipastikan bersih, kemas, selesa dan lengkap sebelum tetamu tiba.

“Keunikan servis Pink Gala ialah kami sentiasa memberikan perkhidmatan terbaik.

“Kami pastikan penginapan selesa, bersih, kemas dan lengkap serta semuanya disediakan tepat pada masanya,” ujarnya.

Prinsip itu menjadi antara kekuatan yang cuba dipertahankan Malisa dalam memastikan Pink Gala terus mendapat kepercayaan pelanggan.

Baginya, pelanggan mungkin datang dengan kehendak dan kerenah yang berbeza, namun tanggungjawab penyedia perkhidmatan adalah memberikan pengalaman terbaik kepada mereka.

Impian lebih besar

Enam tahun selepas Pink Gala ditubuhkan, Malisa kini melihat perniagaannya dengan perspektif yang lebih besar.

Dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang, beliau mahu terus mengembangkan perniagaan, meningkatkan jumlah pelanggan dan pada masa sama mengekalkan kualiti perkhidmatan.

“Sasaran saya adalah untuk terus mengembangkan perniagaan, meningkatkan jumlah pelanggan, mengekalkan kualiti servis dan membina reputasi sebagai homestay pilihan utama,” katanya penuh optimis.

Bagi wanita yang mungkin masih teragak-agak untuk memulakan sesuatu yang baharu, kisah Malisa membawa satu mesej mudah tetapi cukup bermakna iaitu tidak perlu menunggu sehingga semuanya sempurna untuk bermula.

pink gala
Prgoram wacana ilmu anjuran Pink Gala yang diadakan di Timur Bay.

Kadangkala, peluang yang hadir ketika kita paling tidak bersedia itulah yang akhirnya membawa kita ke jalan yang tidak pernah kita bayangkan.

Daripada seorang suri rumah yang pada awalnya beberapa kali menolak tawaran, Malisa kini membina perniagaan hasil keberanian mencuba, kesanggupan bermula dari bawah dan ketekunan menghadapi pelbagai cabaran.

Pegangan hidupnya juga cukup sederhana, namun sarat dengan makna.

“Cabaran yang kita hadapi hari ini adalah proses yang menjadikan kita lebih kuat untuk menghadapi hari esok.

“Jangan takut pada cabaran kerana di sebalik setiap kesukaran ada kekuatan, pengalaman dan pengajaran yang akan membentuk diri kita menjadi lebih baik,” katanya.

pink gala
Abizar Music antara band yang sentiasa mendapat undangan untuk memeriahkan pelbagai program dan majlis anjuran Pink Gala.

Kisah Malisa membuktikan bahawa kejayaan seorang wanita tidak semestinya bermula dengan sesuatu yang besar.

Ia boleh bermula dengan satu peluang, satu keputusan untuk mencuba dan kesediaan untuk terus bertahan apabila perjalanan menjadi sukar.

Daripada mengemop lantai sebuah homestay, mengurus kunci dan melayan tetamu, Malisa kini sedang membuka pintu yang lebih besar dengan membina masa depan sebagai usahawan bersama Pink Gala.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button