Encik Tan lebarkan empayar makanan halal ke Malaysia
SUBANG – Jenama makanan jalanan Cina halal dari Singapura, Encik Tan, melakar langkah baharu dalam pengembangan serantaunya apabila membuka cawangan pertama di Malaysia yang terletak di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (Subang SkyPark) di sini.
Pembukaan cawangan di Lot G17 itu menjadi titik permulaan strategik buat jenama di bawah Kumpulan Fei Siong berkenaan untuk menembusi pasaran tempatan selepas memiliki 21 cawangan di Singapura dan satu cawangan di Jakarta, Indonesia.
Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan Fei Siong, Tan Kim Siong berkata, lokasi Subang SkyPark dipilih kerana kedudukannya yang strategik selain mempunyai aliran pengunjung tinggi melibatkan pelancong, kakitangan lapangan terbang dan komuniti setempat.
Menurut beliau, jenama itu mahu membawakan pengalaman menikmati makanan jalanan Cina klasik yang halal dan mudah diakses kepada masyarakat Malaysia.
“Subang SkyPark merupakan peluang yang sangat sesuai untuk Encik Tan menembusi pasaran Malaysia.
“Dari Singapura ke Kuala Lumpur, kami bawakan aneka rasa hidangan jalanan yang diwarisi turun-temurun dan digemari ramai. Ia penuh nostalgia serta menampilkan rasa asli yang dekat di hati pelanggan,” katanya dalam kenyataan.
Tambah beliau, pembukaan cawangan pertama itu turut menjadi asas kepada perancangan jangka panjang syarikat untuk berkembang ke bandar utama lain termasuk Johor Bahru dan Kuala Lumpur.
Katanya, jenama tersebut juga menyasarkan pengembangan lebih luas ke seluruh Asia Tenggara selain meneroka pasaran Australia dan United Kingdom pada masa hadapan.
Cawangan pertama di Malaysia itu mempunyai keluasan kira-kira 1,800 kaki persegi dan mampu menempatkan sehingga 50 pelanggan pada satu-satu masa.

Premis tersebut menampilkan konsep moden dengan gabungan warna jingga dan putih selain dihiasi mural bercahaya serta kaunter tempahan terbuka bagi memberikan suasana santai dan mesra pelanggan.
Restoran itu beroperasi setiap hari bermula pukul 6.30 pagi hingga 10.30 malam bagi memenuhi keperluan pelanggan termasuk pelancong dan warga kerja di kawasan lapangan terbang.
Dalam pada itu, cawangan tersebut kini sedang melalui proses pensijilan halal mengikut piawaian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Menurut syarikat itu, semua hidangan disediakan menggunakan bahan makanan yang disahkan halal bagi memastikan pelanggan Muslim dapat menikmati sajian dengan yakin dan selesa.
Pengembangan jenama itu di Malaysia turut diperkukuhkan menerusi kerjasama strategik bersama Bake With Yen (BWY), syarikat pembekal bahan bakeri dan makanan yang mempunyai lebih 30 tahun pengalaman dalam industri makanan dan hospitaliti tempatan.
Menu yang ditawarkan merangkumi pelbagai hidangan jalanan Cina popular antaranya Chicken Cutlet Curry Rice pada harga RM15, Fishball Noodles (RM13), Prawn Hokkien Mee (RM18), Claypot Chicken Rice (RM18) dan Signature Noodles (RM20).
Untuk rekod, sejak ditubuhkan pada tahun 2014, Encik Tan berjaya membina kelompok pelanggan tersendiri dengan jualan lebih 10 juta mangkuk Mi Bebola Ikan serta 1.5 juta pinggan nasi ayam kari.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















