BERITA SEMASABISNES & EKONOMI

SMS DEEN lancar Syiling Emas Edisi Khas Visit Malaysia 2026

KUALA LUMPUR – Inisiatif sektor swasta menyokong agenda nasional pelancongan diperkukuh apabila SMS DEEN Jewellers melancarkan Syiling Emas Edisi Khas Visit Malaysia 2026, yang menggabungkan elemen pelaburan emas dengan warisan dan identiti negara.

Syiling emas edisi khas itu merupakan sebahagian daripada Golden Heritage Series oleh SMS DEEN dan dihasilkan menggunakan emas tulen 999.9 (24 karat). Ia direka khas bersempena kempen Visit Malaysia 2026 sebagai simbol sokongan industri tempatan terhadap usaha mempromosikan Malaysia ke peringkat antarabangsa.

Ketua Pegawai Eksekutif SMS DEEN, Mohamad Shaifudeen berkata, rekaan syiling emas berkenaan memberi penekanan kepada keunikan Malaysia yang melangkaui mercu tanda utama yang lazim diketahui pelancong.

“Di luar negara mereka tahu KLCC dan banyak lagi, tetapi kita ada elemen lain yang boleh diketengahkan seperti burung enggang untuk mempromosikan Sarawak dari segi biodiversiti.

“Selain itu ada juga bunga rafflesia bagi Sabah serta gua air dan wayang kulit sebagai simbol kesenian Malaysia,” katanya pada majlis pelancaran syiling emas itu di ibu negara semalam.

syiling
Pelancaran Syiling Emas Edisi Khas Visit Malaysia 2026 anjuran SMS DEEN Jewellers di Kuala Lumpur.

Pelancaran syiling emas berkenaan berlangsung semalam dan disempurnakan oleh Pengerusi Tourism Malaysia, Datuk Manoharan Periasamy sambil disaksikan Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim.

Mengulas lanjut, Shaifudeen berkata, pengeluaran syiling emas itu dibuat dalam jumlah terhad merangkumi set lipat, set bingkai dan kepingan individu, sejajar dengan konsep edisi khas yang menekankan nilai koleksi dan kenangan.

“Bagi fasa pertama, set ini dihasilkan dalam jumlah terhad dan sasaran kami adalah pembeli yang mahu menyimpan sebagai memori, sama ada dibeli satu persatu atau sebagai satu set lengkap. Kita mahu lihat corak permintaan ini untuk dijadikan input kepada fasa kedua nanti,” katanya.

syiling
Mohamad Shaifudeen menunjukkan Syiling Emas Edisi Khas Visit Malaysia 2026 daripada Golden Heritage Series yang diperbuat daripada emas tulen 999.9 dan dihasilkan dalam edisi terhad.

Jelas Shaifudeen, sasaran utama produk tersebut ialah pelabur kali pertama dan pembeli baharu emas, khususnya golongan muda yang mahu berjinak-jinak dengan pelaburan emas berskala kecil.

“Kita lihat trend harga emas yang semakin meningkat menyebabkan ramai pembeli kali pertama mencari pilihan yang lebih bajet. Sebab itu kita hasilkan syiling emas bersaiz kecil supaya mereka boleh mula mengumpul, sama ada sebagai simpanan, pelaburan atau hadiah bermakna,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button