BERITA SEMASADALAM NEGERI

TNB akui berlaku kesalahan teknikal pada paparan graf bil elektrik

PUTRAJAYA – Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengesahkan berlaku kesilapan teknikal yang menyebabkan paparan graf penggunaan elektrik bulan Julai dalam aplikasi myTNB menjadi tidak tepat, sekali gus mencetuskan kekeliruan dalam kalangan pengguna.

Dalam kenyataan menerusi akaun media sosial rasmi TNB CareLine petang ini, syarikat itu memaklumkan bahawa graf berkenaan telah ditarik semula buat sementara waktu bagi membolehkan siasatan dan pembetulan dilakukan.

“TNB ambil maklum sedang tular di media sosial mengenai segelintir pelanggan mungkin melihat graf penggunaan Julai yang tinggi dalam aplikasi myTNB.

Atas isu teknikal, terdapat ralat yang menyebabkan paparan graf penggunaan Julai tidak tepat dan graf itu tidak dipaparkan buat sementara waktu.

Kami ingin memberi jaminan bahawa bacaan penggunaan untuk Julai tidak terjejas. Pelanggan boleh menyemak bil muktamad selepas tempoh pengebilan,” menurut kenyataan itu.

bil tnb
Antara bil elektrik yang dikongsikan nitizen di media sosial mengenai kenaikan mendadak bil elektrik pada paparan aplikasi bulan Julai.

Pada masa sama, TNB memaklumkan pihaknya sedang mengambil tindakan dan akan memaklumkan perkembangan membabitkan isu berkenaan dari semasa ke semasa.

Pelanggan juga dinasihatkan untuk mengajukan pertanyaan dengan menghubungi TNB melalui pesanan peribadi (PM) ke akaun Facebook TNB Careline; hubungi terus (DM) ke X @Tenaga_Nasional; hantaran emel kepada tnbcareline@tnb.com.my atau menghubungi talian 1300-88-5454.

Sejak beberapa hari lalu, pengguna media sosial membanjiri ruangan komen TNB dengan rungutan mengenai lonjakan bil elektrik secara mendadak.
Isu itu turut mencetuskan persoalan berkaitan tarif elektrik, sistem pengebilan, serta skim ‘Time of Use’ (TOU) yang dilihat kurang difahami oleh sebahagian pelanggan.

 

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button