BERITA SEMASA

Saringan dadah: Semua juruterbang Malaysia Airlines negatif

KUALA LUMPUR – Semua juruterbang Malaysia Airlines yang masih bertugas didapati negatif dalam saringan dadah mandatori yang dilaksanakan Malaysia Aviation Group (MAG) setakat 15 Ogos lalu.

MAG dalam kenyataannya memaklumkan saringan terhadap semua juruterbang berkenaan telah selesai dilaksanakan dalam mengukuh aspek keselamatan serta kecergasan dalam keseluruhan operasi kumpulan itu.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAG, Kapten Nasaruddin A. Bakar berkata, penyelesaian fasa pertama saringan itu merupakan satu pencapaian penting namun usaha berkenaan akan diteruskan membabitkan kumpulan operasi lain.

“Namun, usaha itu tidak terhenti di sini. Kami akan meneruskan saringan melibatkan kumpulan operasi yang lain bagi memastikan piawaian ketat diterapkan secara konsisten di semua syarikat penerbangan kami,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tindakan itu dipercayai berkait dengan penahanan seorang juruterbang syarikat berkenaan di Indonesia atas kesalahan penyeludupan dan pengambilan dadah yang mencetuskan kebimbangan terhadap keselamatan awam baru-baru ini.

Menurut Nasaruddin, MAG selepas ini akan memulakan saringan terhadap kira-kira 2,840 kru kabin Malaysia Airlines bermula esok, yang dijangka selesai pada 3 September depan.

Beliau berkata, saringan sama turut sedang dilaksanakan terhadap juruterbang dan kru kabin syarikat penerbangan Firefly.

“Setakat 15 Ogos, Firefly telah menjalankan saringan terhadap lebih separuh daripada 158 juruterbang dan 163 anggota kru kabin, dengan semua keputusan setakat ini menunjukkan keputusan negatif.

“Firefly kini pada peringkat untuk menyelesaikan saringan terhadap semua baki juruterbang dan kru kabin menjelang 25 Ogos, lebih awal berbanding tarikh akhir 5 September yang ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM),” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button