Pesawat berpatah semula, MOT tunggu penjelas MAB
PUTRAJAYA – Kementerian Pengangkutan (MOT) masih menunggu laporan lengkap daripada pihak Malaysia Airlines Berhad (MAB) berhubung insiden pesawatnya yang terpaksa berpatah semula ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebaik sahaja berlepas ke Korea.
Menterinya, Anthony Loke berkata, pihaknya sudah menghubungi MAB bagi mendapatkan maklumat dan juga penjelasan mengenai kejadian itu.
“Saya sudah berhubung dengan mereka (MAB), jadi kita tunggu laporan lengkap berkenaan dengan masalah teknikal terbabit.
“Saya sudah meminta pihak MAB untuk membuat kenyataan berkenaan perkara itu,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Perasmian Persidangan Keselamatan Jalan Raya Asia (CARS) 2024 di sini, hari ini.
Dalam kejadian semalam, sebuah pesawat Malaysia Airlines yang dalam penerbangan ke Seoul, Korea Selatan berpatah balik ke KLIA selepas dipercayai mengalami masalah teknikal.
Menurut Flightradar24, pesawat A330-323 (MH66) yang berlepas ke Seoul pada pukul 11.50 malam tadi berpatah balik dan mendarat dengan selamat di KLIA pada pukul 12.43 pagi tadi.
Kejadian itu merupakan yang kedua bulan ini yang melibatkan pesawat MAS selepas kejadian dua minggu lalu apabila pesawat A330-300 dari Melbourne ke Kuala Lumpur membuat pendaratan cemas di Lapangan Terbang Alice Springs (ASP) di wilayah tengah Australia selepas mengalami masalah berkaitan enjin.
Pada 4 Ogos lalu, penerbangan Malaysia Airlines juga terlibat dalam pendaratan cemas di KLIA melibatkan penerbangan Malaysia Airlines menuju ke Jeddah.
Pada 24 Jun, sebuah penerbangan ke Bangkok juga berpatah balik ke KLIA selepas mengalami masalah tekanan udara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








