Penumpang cedera selepas tingkap pesawat Ryanair tercabut ketika penerbangan
THESSALONIKI – Seorang penumpang penerbangan Ryanair cedera selepas tingkap di bahagian kabin berhampiran tempat duduknya tercabut ketika pesawat dalam perjalanan dari Thessaloniki, Greece ke Memmingen, Jerman pada 10 Julai lalu.
Mangsa, Ljubisa Karovic, 61, yang duduk di kerusi bersebelahan tingkap dilaporkan mengalami detik mencemaskan apabila tekanan udara dalam kabin menurun secara tiba-tiba susulan insiden berkenaan.
Isterinya, Svetlana Grkovic berkata, kepala dan lengan kanan suaminya terdorong keluar melalui bukaan tingkap sebelum dia bersama beberapa penumpang lain bertindak pantas menarik mangsa kembali ke dalam pesawat.
Menurut laporan media Greece dan sumber lapangan terbang, kejadian dipercayai berpunca daripada serpihan enjin yang menghentam tingkap pesawat sehingga menyebabkannya tercabut.
Seorang penumpang wanita yang duduk berhampiran segera menarik lengan kiri Karovic bagi mengelakkan daripada terkeluar sepenuhnya dari pesawat, sebelum dibantu seorang lagi penumpang ketika juruterbang melakukan penurunan altitud secara kecemasan.
Svetlana berkata beliau turut membantu memasangkan topeng oksigen kepada suaminya, manakala seorang lagi penumpang memberikan topeng oksigen kepadanya.
“Suami saya mengalami kecederaan serius pada muka serta beberapa bahagian kepala termasuk telinga, mata dan hidung, selain mengalami pendarahan,” katanya memetik laporan media tempatan.
Karovic kini dirawat di sebuah hospital di Thessaloniki akibat kecederaan pada leher dan lengan, manakala pasangan itu telah melantik peguam bagi mewakili mereka berhubung insiden berkenaan.
Peguam mereka, Vassilis Tsiaras menyifatkan kejadian itu sebagai sangat serius dan berkata hasil siasatan rasmi akan menentukan tindakan undang-undang yang akan diambil.
Data pengesanan penerbangan menunjukkan pesawat berkenaan berada di udara kira-kira 10 minit sebelum melakukan penurunan kecemasan sejauh hampir 9,000 kaki (2,700 meter) dan berpatah balik ke Thessaloniki.
Dalam kenyataannya, Ryanair mengesahkan penerbangan dari Thessaloniki ke Memmingen terpaksa berpatah balik sejurus selepas berlepas berikutan salah satu tingkap penumpang tertanggal ketika penerbangan.
Menurut syarikat penerbangan tambang murah itu, pesawat berjaya mendarat dengan selamat dan semua penumpang dibawa keluar ke terminal, manakala seorang penumpang menerima rawatan perubatan sebaik pesawat mendarat.
Sementara itu, Boeing memaklumkan pihaknya sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa Macedonia Utara yang mengetuai siasatan kerana kejadian berlaku di ruang udara negara itu.
Siasatan turut melibatkan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan Amerika Syarikat (NTSB), Agensi Keselamatan Penerbangan Kesatuan Eropah (EASA), penyiasat kemalangan udara Greece dan pihak pendakwa raya negara berkenaan.
Pihak berkuasa Greece menyifatkan kejadian itu sebagai insiden yang amat jarang berlaku dalam industri penerbangan.
Pesawat yang berusia kira-kira 18 tahun dan dikendalikan oleh subsidiari Ryanair, Malta Air masih berada di Greece bagi menjalani pemeriksaan teknikal serta siasatan lanjut.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








