Pesawat AirAsia ke Bali berpatah balik ke Perth akibat masalah enjin
BALI – Sebuah pesawat AirAsia yang dalam penerbangan ke Bali terpaksa berpatah balik ke Lapangan Terbang Perth sejurus berlepas apabila kru penerbangan mengesan masalah pada salah satu enjinnya, dalam kejadian kelmarin.
Pesawat AirAsia QZ545 yang berlepas kira-kira pukul 6.30 petang membuat pusingan berhampiran Pulau Rottnest, Australia Barat, bagi membuang bahan api untuk mencapai berat pendaratan selamat, lapor 9News.
Menurut kenyataan AirAsia, pesawat Airbus A320 itu membawa 108 penumpang bersama enam kru penerbangan.
Beberapa penumpang mendakwa melihat api keluar dari enjin pesawat malah seorang penumpang yang duduk berhampiran pintu kecemasan menyangka berlaku letupan kecil sebelum menyedari ia berpunca daripada enjin.
Video yang dikongsi 9News turut memaparkan cahaya menyala di bahagian enjin ketika pesawat sedang terbang.
“Tidak lama selepas berlepas, kru penerbangan mengesan kelainan pada salah satu enjin yang segera distabilkan mengikut prosedur operasi standard. Selepas menilai keadaan, kru membuat keputusan untuk berpatah balik demi keselamatan dan berjaya mendarat dengan selamat di Perth pada jam 7.50 malam,” jelas AirAsia.
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Indonesia, Kapten Achmad Sadikin menyifatkan kejadian itu sebagai kecemasan luar kawal dan memuji tindakan pantas kru yang bertindak mengikut prosedur.
Beliau berkata, penumpang sentiasa dimaklumkan perkembangan semasa dan pihak syarikat turut menyediakan sokongan di lapangan terbang sebelum membuat pengaturan alternatif.
Semua penumpang akhirnya diterbangkan ke Bali menggunakan pesawat QZ547 yang berlepas dari Perth pada jam 3.29 pagi, 25 Ogos dan selamat tiba di Denpasar pada 7.26 pagi waktu tempatan.
“Kami menumpukan sepenuhnya untuk keselesaan penumpang dan berterima kasih atas kesabaran serta pemahaman mereka,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








