BERITA SEMASALUAR NEGARA

Penyelam maut dibaham jerung ketika menembak ikan di Australia

PERTH – Seorang lelaki maut selepas diserang seekor jerung dianggarkan sepanjang 4.5 meter ketika menjalankan aktiviti menembak ikan di perairan Australia Barat, semalam.

Mangsa berusia 35 tahun itu menjalankan aktiviti itu bersama ahli keluarganya berhampiran Pulau Michaelmas, tenggara Perth, sebelum diserang haiwan pemangsa berkenaan.

Menurut pihak polis, mangsa berjaya dibawa ke daratan dengan bot sebelum pasukan paramedik memberikan bantuan kecemasan.

Bagaimanapun, usaha menyelamatkannya gagal dan lelaki itu disahkan meninggal dunia di lokasi.

Pihak berkuasa memaklumkan satu laporan akan disediakan untuk diserahkan kepada koroner bagi tujuan siasatan lanjut.

Jabatan Industri Utama dan Pembangunan Wilayah (DPIRD) Australia Barat turut membantu polis serta pihak berkuasa tempatan dalam mengendalikan insiden berkenaan.

Sehubungan itu, penduduk dan pengguna laut di kawasan sekitar turut diminta melaporkan sebarang kelibat jerung bagi membantu pemantauan keselamatan.

Insiden itu berlaku kurang sebulan selepas seorang bapa kepada dua anak, Steven Mattaboni, 38, maut dalam serangan jerung di Horseshoe Reef berhampiran Pulau Rottnest, tidak jauh dari Perth.

Mangsa ketika itu dilaporkan diserang seekor jerung sepanjang kira-kira empat meter ketika berada di kawasan terumbu karang popular berkenaan.

Australia merupakan antara negara yang merekodkan jumlah serangan jerung yang agak tinggi berbanding banyak negara lain, namun kebanyakan insiden tidak membawa maut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button