Kongres khas DAP: Kian Ming harap perwakilan pilih keluar daripada Kerajaan Perpaduan
CYBERJAYA – Bekas Ahli Parlimen DAP, Dr Ong Kian Ming, berharap perwakilan parti itu pada kongres khas hujung minggu ini akan mengundi supaya DAP keluar daripada Kabinet pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bekas Ahli Parlimen Bangi itu berkata, terdapat tiga alasan untuk DAP kekal dalam Kabinet, iaitu keperluan meluluskan Belanjawan 2027, memastikan kestabilan politik ketika berdepan ketidaktentuan ekonomi serta menghalang Barisan Nasional (BN) daripada menarik sokongan terhadap Anwar yang boleh mencetuskan Pilihan Raya Umum (PRU) lebih awal.
Bagaimanapun, Ong berkata hanya terdapat satu alasan kukuh untuk DAP keluar daripada Kabinet, iaitu memberi tekanan kepada Anwar supaya melaksanakan reformasi politik sebelum PRU akan datang.
“Perwakilan DAP serta penyokong Pakatan Harapan (PH) dan DAP perlu menyedari bahawa Perdana Menteri hanya bertindak balas apabila tekanan kuat diberikan kepadanya, sama ada oleh individu, kumpulan, organisasi atau keadaan politik tertentu.
“Kongres khas ini boleh menjadi satu cara untuk mengingatkan Perdana Menteri bahawa perwakilan DAP mempunyai kuasa untuk memaksa pemimpin parti meletakkan jawatan daripada Kabinet dan menggunakan pengaruh itu untuk memberi tekanan kepadanya supaya menunaikan sebahagian janji manifesto PH sebelum tamat sidang Parlimen ini,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Beliau berkata, jika perwakilan mengundi supaya pemimpin DAP kekal dalam Kabinet, Anwar mungkin menganggapnya sebagai isyarat bahawa parti itu akan terus menyokong kerajaan sehingga tamat penggal Parlimen, tanpa mengira sama ada reformasi substantif dilaksanakan.
“Tanpa mengira ucapan yang disampaikan perwakilan atau tuntutan yang dikemukakan pemimpin DAP pada kongres khas atau menerusi media sosial, sebarang pengaruh yang dimiliki DAP terhadap Anwar akan hilang sebaik sahaja majoriti perwakilan mengundi untuk ‘kekal’ dalam Kabinet,” katanya.
Ong berkata, keputusan untuk keluar daripada Kabinet tidak semestinya bermakna menteri DAP perlu meletakkan jawatan serta-merta, sebaliknya parti itu boleh berunding dengan Anwar untuk kekal sehingga Belanjawan 2027 diluluskan Dewan Rakyat dan Dewan Negara, Disember ini.
Katanya, DAP juga boleh mendapatkan komitmen terhadap beberapa reformasi utama, termasuk had tempoh jawatan Perdana Menteri selama 10 tahun serta undang-undang peruntukan sama rata untuk ahli Parlimen.
Beliau mengakui tindakan keluar daripada kerajaan tidak menjamin PH dan DAP kembali berkuasa selepas PRU ke-16 (PRU16), namun langkah itu membolehkan parti berkenaan menunjukkan kesediaan melepaskan jawatan dalam kerajaan atas prinsip, bukannya kepentingan diri.
“Saya berharap perwakilan DAP membaca mesej ini dan mengundi untuk ‘keluar’, bukannya memilih untuk ‘kekal’,” katanya.
Perwakilan DAP akan menentukan pada kongres khas Ahad ini sama ada lima menteri penuh dan enam timbalan menteri daripada parti itu perlu berundur daripada Kabinet.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







