
Pemuda PAS Selangor gesa ADUN Seri Kembangan digantung dari sidang DUN
SHAH ALAM — Pemuda PAS Selangor menggesa Ahli Dewan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Wong Siew Ki diambil tindakan tatatertib tegas susulan cadangan penerokaan semula sistem penternakan babi moden di negeri itu.
Ketua Pemuda PAS Selangor, Mohamed Sukri Omar berkata, cadangan tersebut yang melibatkan konsep sistem tertutup, sifar pelepasan (zero discharge) serta penggunaan teknologi biogas sebagai tidak menghormati institusi Raja Berperlembagaan.
Menurut beliau, isu berkenaan bukan lagi berkisar kepada aspek teknologi atau kaedah penternakan, sebaliknya menyentuh soal kepatuhan terhadap titah Sultan Selangor yang menetapkan bahawa tiada lagi penternakan babi dibenarkan di negeri itu.
“Kerajaan negeri sebelum ini juga telah membuat keputusan untuk tidak lagi mengeluarkan lesen baharu, menutup ladang sedia ada secara berperingkat serta memenuhi keperluan bekalan melalui import.
“Cubaan menghidupkan semula cadangan tersebut, walaupun dengan pendekatan moden, dilihat sebagai mencabar keputusan tertinggi negeri serta mencemarkan adab terhadap institusi diraja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, beliau menggesa Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor serta jawatankuasa berkaitan meneliti perkara tersebut secara serius dan mempertimbangkan tindakan tatatertib terhadap ADUN berkenaan.
Katanya, antara tindakan yang dicadangkan termasuk penggantungan daripada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor sehingga tempoh 12 bulan sekiranya didapati melanggar tertib dan bertentangan dengan titah Sultan Selangor.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa semua wakil rakyat perlu menghormati institusi negeri serta memastikan setiap perbahasan dalam dewan tidak menyentuh perkara yang telah dimuktamadkan, khususnya yang melibatkan titah diraja dan kepentingan awam.
Sementara itu Naib Ketua Pemuda PAS Selangor, Muhammad Faizzuddin Mohd Zai berkata, pihaknya kesal dengan kenyataan terbuka ADUN berkenaan yang dilihat membelakangi titah Sultan Selangor yang menetapkan agar tiada lagi aktiviti penternakan babi dijalankan di Selangor.

Menurut beliau, cadangan agar kerajaan negeri meneroka semula sistem penternakan babi moden adalah tindakan tidak bertanggungjawab dan disifatkan sebagai mencemarkan kemuliaan institusi DUN Selangor.
“Kerajaan negeri tidak boleh menggadaikan kepentingan negeri, institusi diraja serta rakyat Selangor,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam masa sama, beliau mengingatkan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, supaya tidak tunduk kepada sebarang tekanan atau provokasi yang didakwa datang daripada pihak tertentu, termasuk parti dalam kerajaan negeri.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








