BERITA SEMASA

BERSATU gugur daripada PN, kenyataan Abdul Hadi lebih kepada ‘moral politik’ – Takiyuddin

KOTA BHARU – Kenyataan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berhubung kedudukan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang dikatakan tergugur daripada Perikatan Nasional (PN) lebih menjurus kepada soal ‘moral politik’, kata Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Menurutnya, perkara itu timbul selepas BERSATU memilih untuk bertanding menggunakan logo sendiri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan baru-baru ini, berbanding menggunakan logo PN.

“Dari sudut moral politik, tindakan BERSATU bertanding menentang PN menimbulkan persoalan sama ada parti itu masih mahu berada dalam gabungan berkenaan.

“Dalam politik ini ada kenyataan dari sudut moral politik dan keduanya dari sudut legalistik. Dari segi legalistik lain, dari segi moral lain,” katanya memetik laporan Utusan Online.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Panitia Induk Muktamar Tahunan PAS Kelantan Kali Ke-72 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK), di sini, malam tadi.

Takiyuddin berkata, BERSATU sebelum ini membuat keputusan melalui Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) untuk menggunakan logo sendiri pada PRN Negeri Sembilan.

Bagaimanapun, katanya, PN tidak pernah membuat keputusan untuk menyingkirkan parti itu daripada gabungan berkenaan.

“Kalau dia dah bertanding lawan PN, adakah dia nak masih nak duduk dalam PN? Dari segi politik, takkan dari segi moral politiknya seolah-olahnya dia dah tak mahu lagi dah dengan PN,” katanya.

Takiyuddin turut berkata, BERSATU ketika itu menyatakan bahawa penggunaan logo sendiri mampu mendapat sokongan serta diterima pengundi.

Sebelum ini, pada 7 Ogos, dilaporkan kedudukan BERSATU sebagai anggota PN tergugur dengan sendiri selepas Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan usaha membentuk gabungan baharu.

Abdul Hadi sebelum ini berkata, keadaan berkenaan adalah berdasarkan perlembagaan parti, yang menetapkan bahawa apabila ahlinya menyertai gabungan lain, parti berkenaan terkeluar daripada PN.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button