ADUN Kok Lanas dakwa ‘bebas’ daripada BERSATU, tekad terus perjuang agenda Islam dan Melayu
KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kok Lanas, Datuk Mohamed Farid Mohamed Zawawi mendakwa, beliau kini menikmati ‘kebebasan’ daripada sebuah parti politik yang disifatkannya telah menyimpang daripada perjuangan asal.
Menerusi satu hantaran di Facebook, beliau meluahkan rasa syukur selepas melalui tempoh yang disifatkan penuh cabaran sepanjang bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).
“Alhamdulillah, saya menerima khabar gembira, merasai dan menikmati kebebasan dari sebuah parti politik bernama BERSATU yang telah sekian lama meruntuhkan silaturrahim sesama Muslim dan secara jelas dan terbuka mengangkat pemimpin terpalit korupsi,” katanya.
Hantaran itu dimuat naik bersama sekeping gambar beliau berlatarkan pemandangan Masjidil Haram di Mekah.
Terdahulu semalam, Pengerusi Lembaga Disiplin BERSATU, Datuk Mohd Radzi Manan mengeluarkan notis mengenai pemecatan Mohamed Farid yang juga Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan itu.
Menurutnya, Mohamed Farid didapati telah melanggar FASAL 9.1.4 Perlembagaan dan Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli.
Dalam hantaran sama, Mohamed Farid menegaskan, beliau akan terus memperjuangkan agenda amar makruf nahi mungkar serta mengangkat kedudukan agama Islam di Kelantan dan Malaysia.
“Saya akan terus berjuang amal maaruf nahi munkar. Mengangkat agama Islam di bumi Kelantan dan Malaysia, memertabatkan rumpun Bangsa Melayu di Tanah Nusantara ini dan meletakkan nama negara Malaysia ke mercu yang lebih tinggi dan terjulang.
“Rahmat Allah jua yang saya pohon, meringankan segala bebanan yang akan terus saya gendong bersama rakan sahabat yang seiring,senada dan senafas bersama Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Ya Allah, kepada-Mu kami berserah, kepada-Mu jua kami bergantung hajat, maka rancangkanlah segala yang terbaik untuk kami semua. Allahuakbar,” tulisnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















