POLITIK

Jawatan Pengerusi PN mesti disandang presiden parti gabungan – ARMADA BERSATU

CYBERJAYA – ARMADA BERSATU hari ini membuat ketetapan bahawa jawatan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) mesti disandang oleh mana-mana presiden parti gabungan itu kerana individu berkenaan mempunyai kuasa dan autoriti mewakili parti masing-masing.

Menurut Penolong Setiausaha ARMADA BERSATU, Mohd Fahim Mohd Farid, perkara itu diputuskan Biro Politik ARMADA yang bersidang hari ini.

“Biro Politik ARMADA juga mengambil ketetapan bahawa isu kepengerusian PN sebagai sebuah gabungan politik mesti diselesaikan dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan secara kolektif oleh kepemimpinan parti,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, menggesa PN mengadakan mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi (MT), antara lain bagi menerima dan mengesahkan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi PN, berkuat kuasa 1 Januari lalu.

Katanya, gesaan itu dibuat demi kelangsungan gabungan itu, selain melantik pengerusi baharu.

Sebelum ini, Abdul Hadi mengesahkan parti itu akan menerajui PN, namun memberi bayangan beliau tidak akan memegang jawatan Pengerusi.

Beberapa nama turut disebut-sebut bakal mengisi jawatan itu, antaranya Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, yang juga Menteri Besar Terengganu dan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, yang juga Menteri Besar Kedah.

Ketika ini, PN mempunyai empat parti komponen, iaitu PAS, BERSATU, GERAKAN dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP).

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button