KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menegaskan bahawa Ketua Whipnya, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee, tidak mempunyai kuasa untuk menentukan kedudukan Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat.
Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, Ronald serta semua Ahli Parlimen BERSATU masih terikat dengan keputusan dasar parti dan Perikatan Nasional (PN), sekali gus wajib mematuhinya.
Menurut beliau, jawatan yang disandang Ronald sebagai Ketua Whip juga adalah atas mandat Presiden dan parti, bukan bersifat autonomi.
“Ronald Kiandee perlu diingatkan bahawa bukan tugasnya untuk menentukan siapa sebagai Ketua Pembangkang kerana beliau dan Ahli-ahli Parlimen terlibat masih Ahli Parlimen BERSATU dan PN yang terikat serta wajib mematuhi keputusan dasar parti dan PN.
“Malah jawatannya sebagai Ketua Whip BERSATU adalah atas mandat Presiden dan parti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Isu berkenaan timbul susulan status Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin, yang menurut Tun Faisal telah dipecat daripada BERSATU pada 13 Februari 2026.
Terdahulu, tular sepucuk surat dikeluarkan Ronald kepada Timbalan Setiausaha PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, memaklumkan sokongan 13 Ahli Parlimen BERSATU terhadap Hamzah sebagai Ketua Pembangkang.
Mengulas lanjut, Tun Faisal berkata, Mesyuarat Majlis Presiden dan Mesyuarat Luar Biasa Majlis Tertinggi PN pada 22 Februari lalu telah memutuskan bahawa jawatan Ketua Pembangkang dikosongkan.
Katanya, mesyuarat tersebut turut menetapkan agar PAS menamakan calon baharu daripada parti itu untuk mengisi kekosongan berkenaan.
Beliau menjelaskan, memandangkan Hamzah bukan lagi ahli Bersatu, beliau secara automatik kehilangan locus standi untuk mewakili parti atau gabungan PN di Parlimen dan kini berstatus Ahli Parlimen Bebas.
Dalam pada itu, Tun Faisal mengingatkan Ahli Parlimen BERSATU supaya tidak mengingkari arahan Majlis Pimpinan Tertinggi kerana tindakan sedemikian boleh membawa kepada kehilangan keahlian.
Beliau memetik Perkara 10.4 Perlembagaan Bersatu yang menyatakan mana-mana wakil rakyat yang ingkar arahan parti akan disifatkan terhenti keahliannya serta-merta.
Selain itu, katanya, peruntukan di bawah Perkara 49A(1) Perlembagaan Persekutuan atau Akta Lompat Parti turut memperuntukkan pengosongan kerusi Parlimen sekiranya seseorang wakil rakyat tidak lagi menjadi anggota parti politik yang diwakilinya.