Muhyiddin nafi BERSATU jalin kerjasama dengan PH
KUALA LUMPUR – Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU),Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan dakwaan kononnya parti itu sedang mewujudkan hubungan rapat dengan Pakatan Harapan (PH).
Beliau menyifatkan tuduhan tersebut sebagai tohmahan liar yang tidak berasas serta berniat jahat untuk menjejaskan keharmonian parti dan parti komponen dalam Perikatan Nasional (PN).
Menurutnya, perkara berkenaan tidak pernah dibincangkan di mana-mana peringkat parti termasuk dalam Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU yang menentukan dasar serta hala tuju parti.
“Perkara ini tidak pernah dibincangkan di mana-mana peringkat parti, termasuk dalam Majlis Pimpinan Tertinggi yang menentukan dasar dan hala tuju parti.
“BERSATU mempunyai prinsip perjuangan yang jelas dalam mempertahankan agama, bangsa dan negara serta membela kebajikan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kenyataan itu dibuat sebagai mengulas dakwaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang sebelum ini mendakwa terdapat kumpulan dalam BERSATU mahu membawa parti tersebut lebih dekat dengan PH.
Hamzah yang juga bekas Timbalan Presiden BERSATU dilaporkan berkata, kumpulan berkenaan melibatkan individu yang mempunyai kaitan dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR), namun tidak menamakan pihak dimaksudkan.
Muhyiddin berkata, sebarang kerjasama antara BERSATU dengan parti politik lain adalah berpandukan prinsip perjuangan yang jelas.
Menurutnya, atas prinsip tersebut BERSATU mengasaskan PN bersama PAS sebelum disertai GERAKAN serta Malaysian Indian People’s Party (MIPP).
“PN adalah wadah terbaik untuk BERSATU merealisasikan perjuangan dan BERSATU tidak pernah berganjak daripada pendirian ini.
“Fokus BERSATU ketika ini adalah untuk memperkukuh parti dan memperkuatkan PN dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








