
Keadilan Perlis kecam tindakan Muhyiddin sentuh isu 3R
KANGAR – Keadilan Perlis mengecam tindakan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengundang kemurkaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan Perlis, Syazwan Fahmi Badrul Sham berkata, tindakan Muhyiddin sebagai seorang tokoh politik veteran yang pernah menjawat jawatan tertinggi negara adalah sangat tidak wajar.
“Beliau seharusnya lebih matang dalam mengeluarkan kenyataan, terutama yang berkaitan dengan Institusi Raja-raja Melayu.
“Kenyataan beliau dilihat seolah-olah cuba menghasut rakyat agar hilang kepercayaan terhadap institusi tersebut,” katanya dalam satu siaran media semalam.
Syazwan Fahmi turut menegaskan bahawa Keadilan Perlis tetap menjunjung tinggi prinsip Raja Berperlembagaan yang mana Raja-raja Melayu adalah lambang kedaulatan negara.
“Rakyat Malaysia perlu setia kepada raja dan negara sebagaimana termaktub dalam prinsip kedua Rukun Negara.
“Institusi Raja-raja Melayu tidak seharusnya diheret ke dalam pertelingkahan politik kepartian,” jelasnya lagi.
Beliau turut mengingatkan bahawa kejadiaan itu bukan kali pertama institusi diraja menjadi sasaran serangan politik.
“Pada tahun lalu, Sultan Selangor didakwa telah dihina oleh Menteri Besar Kedah dan pihak Istana Negara terpaksa membuat laporan polis berhubung isu penipuan menggunakan nama istana.
“Sementara pada tahun 2022, Pejabat Sultan Perak juga telah membuat laporan polis berkenaan video titah lama yang dikatakan memihak kepada PAS,” ujar Syazwan Fahmi.
Tambah beliau, pada tahun 2021, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sendiri pernah menyuarakan rasa dukacita terhadap tindakan kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin yang membatalkan ordinan darurat tanpa perkenan baginda.
“Kejadian-kejadian ini menunjukkan adanya siri naratif negatif yang berterusan terhadap institusi Raja-raja Melayu,” katanya lagi.
Syazwan Fahmi memaklumkan bahawa AMK Negeri Perlis telah membuat laporan polis terhadap kenyataan Muhyiddin yang dikatakan telah menyentuh isu 3R (Race, Religion, Royalty) pada pukul 5.00 petang semalam.
Dalam satu ceramah Pilihanraya Kecil Dewan Undangan Negeri Nenggiri baru-baru ini, Presiden Perikatan Nasional itu dikatakan telah secara sengaja dan sinis mempertikaikan peranan Al-Sultan Abdullah ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















