POLITIK

Pemuda AMANAH lapor polis kenyataan Sanusi didakwa sentuh isu 3R

KUALA LUMPUR – Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) membuat laporan polis terhadap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor susulan kenyataannya dalam ceramah Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan yang didakwa berpotensi menyentuh isu 3R melibatkan raja, agama dan kaum.

Pengarah Mobilisasi Pemuda AMANAH Nasional, Ramadhan Lotphi berkata, kenyataan Sanusi yang menyebut bahawa “Cina ada China, India ada India, Melayu hanya ada Tanah Melayu” adalah tidak wajar dan tidak bertanggungjawab.

“Sehubungan itu, Pemuda AMANAH membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang pada jam 4 petang tadi bagi membolehkan pihak berkuasa menyiasat secara adil dan profesional kenyataan itu.

“Tiada mana-mana individu harus dikecualikan daripada tindakan undang-undang sekiranya didapati mengeluarkan kenyataan berpotensi menghasut atau menimbulkan ketegangan antara kaum,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, Pemuda AMANAH menyerahkan sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan siasatan secara telus, profesional dan tanpa memilih bulu bagi memastikan keharmonian serta ketenteraman negara terus terpelihara.

Beliau berkata, Malaysia merupakan tanah air kepada seluruh warganya tanpa mengira kaum, agama mahupun latar belakang, manakala rakyat berketurunan Cina ialah rakyat Malaysia, bukannya rakyat China.

“Begitu juga rakyat Malaysia berketurunan India ialah rakyat Malaysia, bukannya rakyat India. Cubaan menyamakan identiti rakyat Malaysia dengan negara asal nenek moyang mereka adalah naratif mengelirukan dan boleh menjejaskan perpaduan nasional,” katanya.

Beliau menegaskan Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera yang wajib dihormati, namun pada masa sama turut menjamin hak kewarganegaraan semua rakyat.

“Mempertahankan hak istimewa orang Melayu tidak pernah bermaksud menafikan kedudukan, maruah dan hak rakyat Malaysia daripada kaum lain sebagai warga negara ini.

“Pemimpin politik sewajarnya menjadi ejen penyatuan, bukannya meniup sentimen perkauman yang boleh menghakis keharmonian masyarakat majmuk. Negara ini dibina atas semangat saling menghormati dan hidup bersama sebagai satu bangsa Malaysia,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button