PH desak Sanusi mohon maaf, tarik balik kenyataan berbaur perkauman
SEREMBAN – Pakatan Harapan (PH) mendesak Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menarik balik serta memohon maaf secara terbuka susulan kenyataan yang didakwa berbaur perkauman dan menghina rakyat Malaysia.
Naib Pengerusi DAP Johor, Senator Sheikh Omar Ali berkata, kenyataan seumpama itu merupakan sebahagian daripada serangan politik yang sering dimainkan oleh pihak lawan terhadap PH.
Menurutnya, kenyataan yang mengaitkan kaum India dengan India dan kaum Cina dengan tanah besar China, selain mendakwa orang Melayu perlu mempertahankan tanah Melayu, adalah tidak bertanggungjawab serta boleh menjejaskan keharmonian masyarakat.
“Bagi saya dan rakan-rakan dalam Pakatan Harapan, kenyataan ini merupakan satu bentuk penghinaan terhadap seluruh rakyat Malaysia, bukan sahaja Melayu, Cina dan India tetapi semua rakyat negara ini.
“Kami mendesak Sanusi menarik balik kenyataan tersebut dan memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia,” katanya pada sidang media PH Negeri Sembilan di sini hari ini.
Beliau berkata, kedudukan orang Melayu dan Islam di negara ini telah dijamin melalui Perlembagaan Persekutuan dan tidak wajar dijadikan bahan untuk menimbulkan ketakutan atau perpecahan dalam kalangan rakyat.
Menurutnya, setiap individu yang memiliki kewarganegaraan Malaysia berhak dihormati tanpa mengira latar belakang kaum.
“Tidak wajar seseorang yang mempunyai kad pengenalan Malaysia dihina seolah-olah mereka mempunyai tanah air lain hanya kerana keturunan mereka.
“Ini adalah penghinaan kepada rakyat Malaysia yang telah bersama-sama membina negara ini,” katanya lagi.
Sheikh Omar turut mengingatkan PN agar tidak membawa politik perkauman sempit ke Negeri Sembilan yang menurutnya telah lama menikmati kestabilan dan keharmonian di bawah kepimpinan kerajaan negeri sedia ada.
“Politik yang berasaskan sentimen kaum dan agama secara sempit perlu ditolak kerana hanya akan mengundurkan negeri itu ke belakang,” katanya lagi.
Beliau menyeru pengundi Negeri Sembilan supaya menilai prestasi kerajaan negeri dan tidak terpengaruh dengan naratif perkauman yang dimainkan sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN).
“Lihat kepada pencapaian kerajaan negeri sebelum ini dan jangan mempertaruhkan masa depan Negeri Sembilan dengan politik yang memecah-belahkan rakyat.
“Kita mahu meneruskan prestasi cemerlang negeri ini dengan memilih Pakatan Harapan pada pilihan raya kali ini,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















