Lelaki meninggal dunia selepas rebah ketika sertai pertandingan bola sepak
SEREMBAN – Seorang lelaki berusia 45 tahun meninggal dunia selepas rebah ketika menyertai pertandingan bola sepak anjuran sebuah parti politik di padang sebuah kawasan perumahan di Bandar Ekar Rantau, dekat sini semalam.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Yatim Osman berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira jam 11.35 pagi.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati mangsa yang bertugas sebagai penjaga gol rebah secara tiba-tiba ketika aksi sepakan penalti sedang berlangsung.
“Ketika kejadian, isteri mangsa turut berada di padang bagi memberikan sokongan. Pemeriksaan di lokasi mendapati tiada sebarang unsur jenayah berkaitan insiden tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban untuk tindakan lanjut.
Siasatan turut mendapati mangsa mempunyai sejarah penyakit jantung dan sebelum ini menerima rawatan di Pusat Jantung Hospital Serdang.
Sehubungan itu, Mohd Yatim menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak lengkap berhubung kejadian berkenaan bagi menghormati privasi keluarga mangsa.
Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut sementara menunggu tindakan lanjut pihak berkuasa.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















