Disindir menangis rindu anak, Ustaz Allif tekad seimbang tanggungjawab keluarga dan rakyat
REMBAU – Calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota, Ustaz Allif Ibrahim tidak melatah apabila menjadi sasaran sindiran segelintir netizen susulan videonya menangis kerana jarang dapat bertemu anak sepanjang tempoh berkempen, sebaliknya menegaskan pengorbanan itu adalah sebahagian daripada tanggungjawab seorang pemimpin.
Beliau berkata, sekiranya diberi mandat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota, beliau akan berusaha membahagikan masa sebaik mungkin antara keluarga dan amanah berkhidmat kepada rakyat.
“Insya-Allah, itu adalah satu tanggungjawab besar yang perlu saya hadapi. Saya perlu membahagikan masa antara keluarga dan rakyat.
“Saya akan cuba sedaya upaya menunaikan tanggungjawab kepada kedua-duanya. Sebelum ini saya sudah lama berkhidmat bersama rakyat melalui pusat pengajian al-Quran dan sebagai penyelaras DUN.
“Jika Allah mengizinkan saya diberi amanah sebagai ADUN Kota, sudah tentu ia merupakan satu lagi tanggungjawab besar yang akan saya pikul sebaik mungkin,” katanya kepada Malaysia Tribune.
Dalam pada itu, Ustaz Allif berkata, beliau yakin momentum sokongan terhadap PH terus meningkat menjelang hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan esok susulan sambutan menggalakkan daripada pengundi tempatan dan luar kawasan.

Katanya, hari terakhir kempen menyaksikan ramai anak perantau pulang ke Rembau untuk mengundi selain memberikan kata-kata semangat dan mendoakan kemenangan kepada PH.
“Alhamdulillah, kempen pada hari terakhir ini menunjukkan momentum yang sangat baik daripada rakyat di Rembau, khususnya pengundi luar. Ramai yang sudah pulang dan memberikan sokongan,” katanya.
Menurut beliau, sepanjang tempoh berkempen, ramai penduduk turut berharap budaya turun padang dan bertemu masyarakat akan diteruskan sekiranya beliau diberi mandat sebagai wakil rakyat, bukan hanya ketika musim pilihan raya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh pengundi DUN Kota yang memberikan kerjasama sepanjang kempen, selain menyifatkan suasana pilihan raya kali ini berlangsung dalam keadaan harmoni tanpa provokasi.
“Alhamdulillah, tiada provokasi yang mencetuskan pergaduhan dan saya melihat kematangan rakyat DUN Kota dalam menyambut demokrasi di Malaysia,” katanya.
Pada PRN Negeri Sembilan kali ini, Ustaz Allif berdepan saingan tiga penjuru menentang penyandang kerusi DUN Kota, Suhaimi Aini daripada Barisan Nasional (BN) serta calon BERSATU, Akmal Noradzmi Abd Rahim.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















