PRN: Dzulkefly seru rakyat Negeri Sembilan elak politik sempit, pertahan keharmonian
SEREMBAN – Rakyat Negeri Sembilan diseru supaya tidak terpengaruh dengan pihak tidak bertanggungjawab yang cuba melaga-lagakan masyarakat menerusi media sosial, sebaliknya mempertahankan keharmonian yang telah dibina sejak sekian lama.
Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kemajmukan bangsa dan budaya di negara ini bukan satu masalah, malah menjadi kekuatan terbesar sekiranya masyarakat mampu mencari titik persamaan.
“Sebab itu, pesanan dan rayuan saya terutamanya di musim kempen ini, janganlah kita terpengaruh dengan pihak tidak bertanggungjawab yang cuba melaga-lagakan kita di media sosial.
“Jangan gadai keharmonian yang telah dibina oleh datuk nenek kita berpuluh tahun lamanya hanya demi politik sempit,” katanya menerusi hantaran di media sosial semalam.
Baca juga : ‘Doktor buta warna’ tekad terus bela rakyat Sri Tanjung tanpa mengira kaum
Terdahulu, Dzulkefly yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor menghadiri sesi Ramah Mesra Bersama Pemimpin Komuniti India di Restoran Bdana Caterers, menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 yang akan berlangsung Sabtu ini.
Menurut Dzulkefly yang juga Menteri Kesihatan, realiti perpaduan paling ikhlas dapat dilihat dalam sektor kesihatan apabila penyakit tidak pernah membezakan latar belakang bangsa seseorang.
Katanya, dalam soal menyelamatkan nyawa, petugas kesihatan sentiasa memberikan perkhidmatan tanpa memilih latar belakang individu.
“Sebagai Menteri Kesihatan, saya selalu melihat realiti perpaduan yang paling ikhlas wujud di hospital. Penyakit tidak pernah bertanya apa bangsa kita, dan apabila tiba soal menyelamatkan nyawa, para petugas kesihatan tidak pernah memilih bulu,” katanya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada pimpinan komuniti India yang hadir dalam sesi berkenaan atas sokongan yang diberikan.
Katanya, walaupun masyarakat mempunyai perbezaan budaya dan latar belakang, semua pihak perlu terus bersatu hati dalam usaha membina negeri yang makmur.
“Nismilan elok dah, kekalkan Tok Min! Kita mesti monang!” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















