BERITA SEMASA

PRN Negeri Sembilan: SPR terima 293 aduan kesalahan pilihan raya

SEREMBAN – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima sebanyak 293 aduan membabitkan kesalahan kecil sepanjang tempoh berkempen selama 14 hari bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.

Pengerusinya, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, antara aduan yang diterima membabitkan pemasangan poster yang tidak mengikut peraturan, bahan kempen yang menghalang lalu lintas serta aktiviti berkempen tanpa permit.

“Semua aduan yang kami terima telah diambil tindakan oleh pasukan pemantau dan pihak berkuasa tempatan (PBT) berkaitan,” katanya memetik laporan Buletin TV3.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau proses pengundian di Sekolah Menengah Agama (SMA) Dato’ Klana Petra Maamor, Ampangan, hari ini.

Mengulas perjalanan pengundian, beliau berkata, sebanyak 28.11 peratus pengundi telah menunaikan tanggungjawab masing-masing setakat pukul 11 pagi.

Menurutnya, kesemua 401 pusat mengundi membabitkan 1,668 saluran dibuka pada pukul 8 pagi dan akan ditutup pada pukul 6 petang.

Ramlan berkata, hasil tinjauannya di beberapa pusat mengundi sekitar Seremban mendapati kehadiran pengundi agak menggalakkan, namun warga emas dilihat lebih ramai keluar mengundi berbanding golongan muda.

“Kita berharap orang muda dapat keluar mengundi lebih awal kerana cuaca dijangka hujan di kebanyakan kawasan di Negeri Sembilan pada sebelah petang.

“Gunakan keadaan cuaca yang masih baik untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi secepat mungkin,” katanya.

Beliau berkata, SPR menjangkakan peratusan keluar mengundi mampu mencapai antara 72 hingga 75 peratus berdasarkan persaingan sengit sepanjang tempoh kempen.

“Kita percaya semua parti mengambil inisiatif menggalakkan penyokong masing-masing keluar mengundi seramai mungkin,” katanya.

Hari ini, seramai 859,760 pemilih berdaftar, termasuk 7,391 pengundi pos, menentukan gabungan politik yang akan diberi mandat mentadbir Negeri Sembilan bagi tempoh lima tahun akan datang selepas kempen PRN ke-16 berakhir tepat tengah malam tadi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button