POLITIK

PRN Negeri Sembilan: Antara kestabilan politik, krisis adat dan pertarungan persepsi

PILIHAN Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan kali ini mungkin antara pilihan raya negeri yang paling unik dalam sejarah politik moden Malaysia.

Tidak seperti negeri lain yang banyak dipengaruhi isu nasional seperti kos sara hidup atau kepimpinan kerajaan Persekutuan, Negeri Sembilan menyaksikan satu isu tempatan yang begitu dominan sehingga menjadi faktor utama kepada pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu krisis berkaitan institusi adat.

Penganalisis Politik dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Mohd Mahadee Ismail berkata, daripada faktor itu menjadikan PRN kali ini berbeza daripada pilihan raya sebelum ini.

politik
Prof Madya Dr Mohd Mahadee Ismail.

Beliau berpandangan rakyat sebenarnya mahukan kestabilan politik, namun kestabilan tersebut perlu diasaskan kepada mandat baharu daripada rakyat selepas kemelut yang menjejaskan pentadbiran negeri.

“Dari pemerhatian saya di lapangan, orang Negeri Sembilan mahu kestabilan politik diteruskan.

“Tetapi kestabilan itu mestilah datang daripada mandat rakyat selepas berlakunya krisis yang membawa kepada pembubaran DUN lebih awal,” katanya kepada Malaysia Tribune.

Isu adat menjadi penentu

Menurut beliau yang merupakan Ketua Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan, Fakulti Ekologi Manusia, isu adat bukan lagi sekadar polemik dalam kalangan pemimpin adat.

Sebaliknya, krisis tersebut telah membuka mata ramai anak muda mengenai sistem Adat Perpatih yang menjadi identiti Negeri Sembilan.

“Ada kajian menunjukkean lebih 70 peratus anak muda kini mula memahami dan mengikuti perkembangan dan krisis yang berlaku berkaitan institusi adat,” katanya.

Perkembangan itu ujarnya, menjadikan isu berkenaan antara faktor yang dijangka mempengaruhi pengundi atas pagar.

Prestasi kerajaan turut dinilai

Walaupun isu adat menjadi tumpuan, Mohd Mahadee berkata, pengundi tetap menilai prestasi kerajaan negeri.

Beliau berkata, terdapat perbandingan dibuat oleh rakyat antara pentadbiran bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Besar sekarang, Datuk Seri Aminuddin Harun.

prn negeri sembilan
Para pengundi akan turut menilai prestasi pentadbiran kerajaan negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Antara perkara yang sering dibincangkan ialah kedudukan rizab negeri, kenaikan elaun imam masjid serta pembangunan yang berlaku di Negeri Sembilan.

Namun dalam masa sama, terdapat juga kritikan terhadap beberapa projek yang didakwa gagal direalisasikan serta dakwaan berkaitan kronisme yang dimainkan sepanjang kempen.

Calon muda lawan calon berpengalaman

Satu lagi perbezaan ketara PRN kali ini ialah pendekatan pemilihan calon.

Menurut beliau, BN lebih banyak mempertaruhkan penyandang dan calon berpengalaman, manakala PH memberi ruang lebih luas kepada muka baharu dan calon muda.

prn negeri sembilan
Persaingan DUN Rantau melibatkan penyandangnya, Datuk Seri Mohamad Hasan yang dicabar calon muda Pakatan Harapan (PH), Dr Azizul Hakim Mahdi.

Namun beliau berpendapat faktor calon mungkin bukan lagi penentu utama.

“Apabila sentimen parti lebih kuat, pengundi biasanya mengundi berdasarkan logo parti, bukan semata-mata individu calon,” katanya.

Pertempuran terakhir

Menjelang hari pengundian esok, Mohd Mahadee melihat terdapat tiga kumpulan yang bakal menentukan keputusan PRN.

Golongan pertama ialah pengundi atas pagar yang lebih cenderung membuat keputusan berdasarkan pembangunan dan isu kestabilan negeri.

Golongan kedua ialah pengundi muda yang banyak dipengaruhi media sosial, khususnya TikTok.

Manakala kumpulan ketiga ialah penyokong tegar parti yang lazimnya akan kekal bersama parti masing-masing.

Ph
Sebahagian penyokong PH yang hadir ketika hari penamaan calon pada 18 Julai lalu.

Beliau berpandangan tempoh akhir kempen akan menjadi medan penting bagi setiap parti mempengaruhi dua kumpulan pertama kerana merekalah yang berpotensi menentukan siapa bakal membentuk kerajaan negeri bagi tempoh lima tahun akan datang.

“Bagi PH cabaran utama ialah memastikan rekod pencapaian kerajaan negeri dapat diterjemahkan kepada sokongan pengundi melalui kempen yang lebih tersusun, khususnya dalam media sosial serta usaha meningkatkan peratusan keluar mengundi di kawasan sasaran,” katanya.

Bagaimanapun beliau menegaskan, pada akhirnya keputusan tetap berada di tangan rakyat.

“Dalam prinsip asas demokrasi, rakyatlah yang akan menentukan siapakah calon dan parti manakah yang layak diberi mandat untuk mentadbir.

“Justeru, rakyat Negeri Sembilan perlu ingat bahawa keputusan undi mereka esok akan menentukan kedudukan kerajaan negeri dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Implikasinya cukup besar, jadilah buatlah pilihan yang terbaik,” katanya.

penyokong
Dalam prinsip demokrasi, rakyat akan menentukan siapa yang akan membentuk kerajaan untuk mentadbir negeri atau negara. – Foto Khadijah Mohamad Nor/Malaysia Tribune 

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button