POLITIK

Rekod pentadbiran Anwar, Aminuddin jadi senjata PH di Pilah

KUALA PILAH – Rekod pentadbiran kerajaan persekutuan bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun menjadi kekuatan kempen calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Noorzunita Begum Mohd Ibrahim bagi mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pilah.

Noorzunita berkata, pelbagai inisiatif dan bantuan dilaksanakan sepanjang pentadbiran PH membuktikan komitmen kerajaan terhadap kebajikan rakyat, sekali gus menjadi asas kepada kempen beliau kepada pengundi.

“Sepanjang tempoh pentadbiran PH, pelbagai inisiatif untuk kesejahteraan rakyat dilaksanakan di peringkat negeri dan persekutuan. Itu menjadi platform saya untuk menjelaskan kepada rakyat apa yang diberikan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya sekali lagi diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan kali ini, beliau mahu memberi tumpuan kepada isu kelangsungan hidup warga emas, terutama golongan yang bersara tanpa pencen.

Katanya, sepanjang lebih dua tahun setengah berkhidmat sebagai wakil rakyat, beliau menerima banyak aduan daripada kumpulan itu yang bergelut dengan peningkatan kos sara hidup.

“Saya melihat isu kelangsungan hidup warga emas tanpa pencen antara perkara perlu diberikan perhatian. Kita perlu mencari mekanisme dan inisiatif terbaik bagi membantu mereka menjalani kehidupan dengan lebih baik,” katanya.

Selain itu, beliau mahu meneruskan agenda memperkasa golongan muda, khususnya Gen Z, menerusi lebih banyak peluang pendidikan dan pekerjaan bagi meningkatkan akses kepada kerjaya profesional serta pembangunan modal insan.

Mengenai strategi kempen, Noorzunita berkata PH menyantuni semua lapisan pengundi tanpa mengira kaum, walaupun Melayu membentuk majoriti di DUN Pilah.

“Keseluruhannya kita menyantuni semua pengundi di DUN Pilah. Melayu, Cina dan India, semuanya kita dekati kerana setiap undi amat penting,” katanya.

Mengulas persaingan pada PRN kali ini, Noorzunita berkata beliau tidak melihat pertandingan dengan calon parti lain sebagai halangan besar, sebaliknya yakin rekod perkhidmatan PH mampu meyakinkan pengundi untuk terus memberikan mandat.

“Kita tidak ada masalah berdepan dengan sesiapa. Kita teruskan gerak kerja, kita jelaskan apa yang telah kita lakukan untuk rakyat kerana suara dan kepercayaan rakyat sentiasa menjadi pegangan utama,” katanya.

DUN Pilah menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Noorzunita dan calon Barisan Nasional (BN), S Leza Md Yasin.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button