AMANAH persoal hala tuju Kerajaan Perpaduan susulan perkembangan politik Johor dan Negeri Sembilan
KUALA LUMPUR – Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Mohamad Sabu mempersoalkan masa depan Kerajaan Perpaduan susulan perkembangan politik melibatkan Barisan Nasional (BN) di Johor dan Negeri Sembilan yang menimbulkan tanda tanya terhadap kesinambungan kerjasama antara parti-parti dalam kerajaan.
Mohamad berkata, pembentukan Kerajaan Perpaduan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 2022 merupakan satu pengalaman baharu apabila Pakatan Harapan (PH) dan BN, yang sebelum ini merupakan seteru politik, bergabung membentuk kerajaan selepas tiada mana-mana gabungan memperoleh majoriti mudah.
Beliau mengakui pada peringkat awal sukar membayangkan kerjasama dengan UMNO, namun berkata hubungan itu semakin kukuh melalui beberapa siri pilihan raya kecil yang menyaksikan kedua-dua gabungan saling membantu memenangkan calon masing-masing.
“Walaupun dahulunya kita bermusuhan, apabila berada dalam Kerajaan Perpaduan, kita saling membantu.
Tetapi kini, persoalan apakah era itu akan tinggal sebagai sejarah apabila BN Johor mengisytiharkan mahu bergerak bersendirian?
“Pertama, sebaik sahaja Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dibubarkan pada 1 Jun lalu BN mengisytiharkan bahawa mereka akan bertanding di kesemua 56 kerusi secara solo.
“Kemudian diikuti pula dengan kemelut yang berlaku di Negeri Sembilan. Paling mengejutkan, 14 ADUN UMNO dan BN menarik sokongan terhadap Menteri Besar Negeri Sembilan, sekali gus membuka ruang kepada kemungkinan kerjasama dengan ADUN pembangkang, termasuk PAS, untuk mengambil alih kerajaan negeri,” katanya dalam satu hantaran menerusi laman Facebooknya hari ini.
Menuju hari penamaan calon bagi PRN Negeri Sembilan katanya, kerjasama antara BN dan Perikatan Nasional semakin jelas apabila mereka saling melengkapi 36 kerusi DUN yang akan dipertandingkan.
“Saya yang mendukung Kerajaan Perpaduan dan AMANAH yang berdiri teguh dalam membentuk kerajaan ini, kini berada di persimpangan.
“Apakah Kerajaan Perpaduan ini akan terus dipelihara, ataupun yang sebaliknya akan berlaku?” soalnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















