MCMC, Content Forum perkukuh pengurusan kandungan platform penstriman
CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersama Content Forum mengadakan sesi libat urus dengan penyedia perkhidmatan penstriman video bagi memperkukuh pengurusan kandungan secara bertanggungjawab, termasuk memastikan sensitiviti agama, kaum, budaya dan sosial di Malaysia dihormati.
Menurut MCMC, sesi itu melibatkan penyedia perkhidmatan Over-the-Top (OTT) dan Video-on-Demand (VOD), selaras dengan penekanan Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, bahawa kebebasan berkarya perlu diseimbangkan dengan tanggungjawab menghormati nilai agama, keharmonian kaum dan sensitiviti budaya.
MCMC turut menekankan kepentingan pelaksanaan langkah perlindungan berkesan oleh penyedia perkhidmatan, khususnya bagi melindungi kanak-kanak daripada kandungan tidak sesuai.
“Antara langkah yang diberi perhatian termasuk semakan kandungan dalaman, pengelasan umur bersesuaian, penyediaan kawalan ibu bapa serta mekanisme pengendalian aduan yang mudah diakses pengguna.
“Perbincangan itu turut membabitkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), dengan tumpuan kepada pematuhan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588], Kod Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia serta garis panduan pengelasan kandungan berkaitan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu katanya, sesi berkenaan juga mengambil kira perbezaan kerangka kawal selia antara perkhidmatan OTT dan VOD dengan penyiaran konvensional, selain menyediakan ruang kepada pemain industri untuk mendapatkan penjelasan, berkongsi pandangan dan meneroka langkah penambahbaikan yang praktikal.
Sementara itu katanya, antara pemain industri yang menyertai sesi itu ialah Netflix, Apple TV, Motion Picture Association (MPA), Asia Video Industry Association (AVIA), Astro menerusi Astro GO dan Sooka, iQIYI, Media Prima Berhad menerusi Tonton, MYTV Mana-Mana, Unifi TV dan Viu.
“Penyertaan itu mencerminkan penglibatan meluas penyedia kandungan serta persatuan industri tempatan dan antarabangsa, manakala keahlian AVIA turut merangkumi pemain industri utama seperti Disney, Amazon dan Warner Bros. Discovery (WBD),” katanya.
MCMC menegaskan penyedia perkhidmatan perlu mengurus kandungan secara bertanggungjawab serta mematuhi undang-undang Malaysia yang berkuat kuasa.
MCMC dan Content Forum akan terus bekerjasama dengan pihak industri bagi memperkukuh kawal selia kendiri, perlindungan pengguna dan akauntabiliti bersama.
Bagaimanapun, tindakan kawal selia sewajarnya akan tetap diambil sekiranya berlaku pelanggaran undang-undang.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







